Nadia Kesuma selamat dikebumikan di Jeddah, lebih 500 orang hadir solat jenazah

Pengebumian Allahyarham Nadia Kesuma (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah selesai pada jam 7.35 pagi waktu tempatan.
Pengebumian Allahyarham Nadia Kesuma (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah selesai pada jam 7.35 pagi waktu tempatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengebumian pelakon, Allahyarham Nadia Kesuma di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah selesai pada jam 7.35 pagi waktu tempatan.

Suami Allahyarham Nadia Kesuma iaitu Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, berkongsi hantaran penuh emosi, menzahirkan kesedihan tetapi reda kerana percaya isterinya kini berada di tempat yang lebih baik.

Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi foto pusara Nadia dan menyifatkannya sebagai lokasi peristirahatan terakhir isterinya.

“Tempat peristirahatan baharumu, sayang. Alamatnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, Column 23, Baris 12, Blok 8, Dhahban New Cemetery, Jeddah, Arab Saudi.

"Secara rasmi 'berpindah' pada jam 7.35 pagi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Nadia Kesuma, 50, atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, dilapor hilang selepas gagal dikesan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, Selasa minggu lalu.

Beliau menyertai kumpulan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan bersama 21 peserta lain, bermula 14 hingga 28 Januari. Sepatutnya, beliau meneruskan penerbangan ke London selepas transit di Jeddah selama beberapa jam, namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.

Lebih 500 jemaah di Jeddah menunaikan solat jenazah Allahyarham Nadia Kesuma.
Lebih 500 jemaah di Jeddah menunaikan solat jenazah Allahyarham Nadia Kesuma.

Artikel Berkaitan:

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah memaparkan Nadia Kesuma rebah secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke hospital lalu menghembuskan nafas terakhir di Hospital King Fahad pada jam 8.07 pagi Khamis, dipercayai akibat serangan jantung.

Muhammad Kamarul, yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), berkata, meskipun berat hati dan pilu kerana terpaksa meninggalkan isteri tercinta, namun dia berjanji akan kembali semula menziarahi pusara arwah di negara berkenaan.

“Saya terpaksa meninggalkanmu sekarang, sayang. Dengan rasa sakit dan duka di hatiku.

"Tetapi saya tahu awak berada di tempat yang lebih bahagia. Selamat tinggal.

“Saya dan anak-anak akan melawatmu tidak lama lagi, insya-ALLAH! Amin,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak kepada Allahyarham Nadia berkata, lebih 500 jemaah hadir bagi menunaikan solat jenazah ibunya.

“Alhamdulillah, syukur pengakhiran mama sangat sempurna dan baik. Lebih 500 jemaah di Jeddah menunaikan solat jenazah dan mendoakan mama.

“Rakyat Malaysia juga ramai yang mendoakan mama. Mama, rehatlah di sana, insya-Allah, dengan doa orang ramai dan amal kebaikan di dunia menjadi saham mama di akhirat.

“Alhamdulillah, syukur. Insya-ALLAH, kita akan berjumpa semula sekeluarga di syurga, ya mama,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Pengebumian pelakon Nadia Kesuma di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah selesai pada jam 7.35 pagi waktu tempatan
  • Suami Allahyarham, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, merasa sedih tetapi reda kerana percaya isterinya di tempat yang lebih baik
  • Nadia Kesuma dilapor hilang selepas gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah setelah rebah dan kemudian meninggal dipercayai akibat serangan jantung
  • Lebih 500 jemaah hadir menunaikan solat jenazah dan mendoakan Allahyarham
  • Anak Allahyarham bersyukur atas pengakhiran yang baik dan berharap akan bertemu semula di syurga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!