'Luluh hati, suami dan dua anak tinggalkan saya selamanya'

Nor Hamiza menunjukkan gambar kenangan bersama suami dan anak-anaknya.
Nor Hamiza menunjukkan gambar kenangan bersama suami dan anak-anaknya.
A
A
A

ALOR SETAR - "Saya tunggu suami, dua anak di tempat kerja tapi tak sampai...rupa-rupanya mereka dah 'tinggalkan' saya buat selama-lamanya."

Demikian luahan pilu Nor Hamiza Halid, 25, yang kehilangan suami, Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, selepas terbabit kemalangan bersama dua anak mereka, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2, juga maut dalam kejadian itu.

Sebelum kemalangan, Nor Hamiza menunggu suaminya tiba untuk menjemput pulang dari tempat kerja di kedai makan dekat Sungai Ular, Kulim namun tidak sampai-sampai.

Nor Hamiza berkata, dia ada menghantar WhatsApp kepada suaminya pada jam 5 petang tetapi tidak dibalas membuatkannya rasa tidak sedap hati sehinggalah dihubungi adik ipar pada jam 5.45 petang memaklumkan suami kemalangan.

"Masa tu saya tanya suami macam mana... Anak-anak macam mana tetapi adik ipar kata tak tahu lagi...tidak lama kemudian, anak majikan saya ajak ke Forensik Hospital Kulim...luluh hati saya bila dapat tahu suami dan anak-anak telahpun meninggal dunia," katanya.

Kebiasaannya, suami akan menjemput Nor Hamiza dengan menunggang motosikal tetapi pada hari kejadian, dia turut membawa anak bongsu menyebabkannya menaiki kereta.

Dalam kemalangan lebih kurang jam 5.15 petang Ahad, kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan sebuah kereta Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan dekat Jalan Sungai Kob, Kulim.
Dalam kemalangan lebih kurang jam 5.15 petang Ahad, kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan sebuah kereta Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan dekat Jalan Sungai Kob, Kulim.

Bagaimanapun, Muhammad Syazwan yang bekerja di sebuah kilang di Kulim dikatakan berpatah balik ke rumah ibunya di Taman Mutiara disebabkan bantal Muhammad Affan Mikhael tertinggal.

Artikel Berkaitan:

"Tiba-tiba anak sulung nak ikut, jadi ayahnya bawa kedua-dua anak kami bersama untuk jemput saya dan sepatutnya kami akan pulang ke rumah sewa di Kampung Sungai Tengas," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Menurutnya, mereka sekeluarga telah merancang membeli baju raya warna hijau serta ingin berkumpul di Terengganu bersama keluarga belah suami lebaran nanti.

"Kami juga sudah menempah inap desa untuk menyambut hari raya tahun ini di Terengganu kerana keluarga belah suami orang Terengganu, namun semua yang dirancang tidak kesampaian apabila mereka pergi meninggalkan saya buat selamanya," katanya.

Dalam kemalangan lebih kurang jam 5.15 petang Ahad, kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan sebuah kereta Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan dekat Jalan Sungai Kob, Kulim sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kejadian itu menyebabkan kereta Proton S70 terbakar sejurus kemalangan namun pemandu berusia 27 dikatakan hanya mengalami cedera ringan.

Bertambah luluh hati Nor Hamiza apabila menyedari ada rakan menghantar video tular anak-anaknya terbaring di tepi jalan selepas kemalangan namun, hanya sempat dibuka semasa berada di Jabatan Forensik.

Jenazah ketiga-tiga beranak itu dijangka dibawa pulang ke Taman Mutiara sebelum dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Fateh selepas selesai proses bedah siasat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan identiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kulim-Mahang pada petang Ahad, disahkan terdiri daripada seorang bapa dan dua anak.

 

 

Ringkasan AI

  • Nor Hamiza Halid kehilangan suami dan dua anaknya yang maut dalam kemalangan
  • Sebelum kemalangan, Nor Hamiza menunggu suami dan anak-anaknya untuk menjemputnya pulang dari tempat kerja
  • Nor Hamiza tidak mendapat jawapan daripada suami setelah menghantar WhatsApp, kemudian diberitahu tentang kemalangan oleh adik ipar
  • Keluarga itu merancang untuk membeli baju raya warna hijau dan berkumpul di Terengganu
  • Kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan kereta Proton S70 yang hilang kawalan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!