Dua kanak-kanak antara 3 maut nahas 2 kenderaan, sebuah kereta terbakar

KULIM – [DIKEMAS KINI] Tiga individu termasuk dua kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Sungai Kob di sini pada petang Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.09 petang.
Menurutnya, sepasukan lima anggota dari BBP Kulim Hi-Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Mohamad Yazan Yahaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan melalui talian 999 yang memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta dengan tiga mangsa dilaporkan tersepit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan sebuah Proton S70 yang bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan.
Menurutnya, pemandu Perodua Viva tersepit di dalam kenderaan, manakala dua kanak-kanak lelaki yang berada di bahagian penumpang turut terlibat.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.
Jelas Azmir, dua kanak-kanak lelaki berkenaan telah dikeluarkan terlebih dahulu dengan bantuan orang awam, manakala pemandu Perodua Viva dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
Katanya, sebuah lagi kenderaan iaitu Proton S70 dilaporkan terbakar dalam kejadian tersebut, namun seorang lelaki berjaya keluar sendiri dari kereta berkenaan dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kebakaran kenderaan berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulim menggunakan satu aliran salur bantu mula.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim menaiki ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” tambahnya.
Beliau berkata, semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 6.16 petang.
Ringkasan AI
- Tiga individu termasuk dua kanak-kanak lelaki meninggal dalam kemalangan di Jalan Sungai Kob, Kulim
- BBP Kulim Hi-Tech menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 petang
- Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan Proton S70
- Dua kanak-kanak dan pemandu Perodua Viva meninggal di tempat kejadian
- Proton S70 terbakar namun pemandu keluar dengan kecederaan ringan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

