[VIDEO] Johor hadkan sewa tapak bazar Ramadan RM500 setiap lot
KULAI – Kadar sewaan tapak bazar Ramadan di negeri ini akan diselaraskan kepada maksimum RM500 dan ke bawah bagi meringankan beban peniaga kecil, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, perbincangan bersama ketua-ketua jabatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilakukan bagi meneliti proses serta kadar yuran yang dikenakan kepada peniaga bazar Ramadan ketika ini.
“Saya dimaklumkan terdapat laporan yang menunjukkan ada tapak bazar Ramadan disewakan sehingga RM1,500 sebulan bagi satu lot.
"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita tidak mahu peniaga kecil dibebankan dengan kos sewaan yang terlalu tinggi
"Perbincangan dengan pengusaha bazar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kadar sewaan dapat dikurangkan kepada maksimum RM500 dan ke bawah sama ada melalui kaedah subsidi atau mekanisme lain yang munasabah," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Permulaan Kerja Jalan Alternatif Bandar Putra ke Saleng di sini, pada Isnin.

Mohd Jafni, menegaskan kerajaan negeri tidak mahu peniaga bazar Ramadan, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan kecil dan sederhana, dibebankan dengan kos sewaan yang terlalu tinggi.
Jelasnya, beberapa PBT telah bersetuju dengan cadangan berkenaan dan kertas kerja telah dibentangkan melalui Jawatankuasa Ahli Majlis.
"Ahli-ahli majlis turut menyokong supaya peniaga dikenakan caj minimum bagi memberi kelegaan dari segi kos sewaan.
"Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) disasarkan untuk melaksanakan penyelarasan kadar sewa tersebut fasa pertama.
"Kemungkinan akan ada fasa kedua melibatkan kawasan bandar dan pembandaran, manakala di peringkat daerah kos biasanya lebih rendah kerana diuruskan sendiri oleh PBT,” ujarnya.
Mengulas mengenai pendaftaran bazar Ramadan, Mohd Jafni berkata, proses telah bermula dengan peniaga dipanggil untuk mendaftar sama ada secara dalam talian atau melalui PBT masing-masing.
"Saya ingatkan, sistem pemilihan tapak bazar mesti dilaksanakan secara telus dan adil melalui kaedah undian terbuka, bukan ditentukan oleh mana-mana pihak tertentu.
“Sistem undian yang telus penting bagi memastikan keadilan kepada semua peniaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta semua peniaga agar mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk aspek kebersihan, penyediaan kemudahan perniagaan serta pengurusan sisa dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


