MPKu jadi contoh PBT di Johor

KULAI – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menjadi contoh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan, kelulusan pembangunan dan kemesraan terhadap pelabur.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, Kulai kini muncul sebagai antara kawasan paling pesat membangun di negeri ini sejajar kedudukannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
"Pelaksanaan inisiatif Fast Lane Kulai yang mempercepatkan proses kelulusan dan mengurangkan kerenah birokrasi berjaya menarik lebih pelabur.
“Daripada jumlah pelaburan yang direkodkan pada suku ketiga tahun lalu sekitar 60 peratus tertumpu di Kulai.
"Ini membuktikan pendekatan pantas, cekap dan mesra pelabur yang diamalkan MPKu berjaya menarik keyakinan pelabur tempatan dan asing,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi utama di bawah pentadbiran MPKu pada Isnin.
Hadir sama Yang di-Pertua MPKu, Mohd Hafiz Aliman.
Dalam lawatan tersebut, Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai turut meninjau projek pembinaan jalan alternatif sepanjang 1.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Putra ke Saleng, melibatkan kos lebih RM8 juta dan dijangka siap pada September ini.
Jelas beliau, projek berkenaan dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Bandar Putra yang menempatkan lebih 19,000 unit kediaman dengan anggaran 80,000 penduduk.
"Isu banjir kilat di beberapa lokasi panas sekitar Kulai, khususnya di sepanjang Jalan Persekutuan FT001 turut diberikan perhatian.
"Kerajaan telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta bagi menaik taraf crossing culvert yang telah berusia lebih 30 tahun bagi mengurangkan risiko limpahan air ketika hujan lebat," katanya.
Tambah Mohd Jafni, dari segi aspek kemudahan awam dan keselamatan, sebanyak 13,000 unit lampu jalan di seluruh daerah Kulai sedang diselenggara dengan lebih 50 peratus berjaya dibaiki dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.
Di samping itu katanya, kira-kira 200 unit Smart CCTV telah dipasang bagi memantau kesesakan lalu lintas dan meningkatkan tahap keselamatan awam.
Mengulas pembangunan perumahan, beliau memaklumkan lebih 1,200 unit rumah mampu milik dengan harga di bawah RM300,000, termasuk serendah RM50,000 telah dibina di Kulai sepanjang tiga tahun lalu.
“Saya berharap MPKu terus menjadi penanda aras kepada PBT lain, bukan sahaja dalam menarik pelaburan tetapi juga dalam memastikan kebajikan penduduk, kelestarian pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Ringkasan AI
- Majlis Perbandaran Kulai dianggap contoh dalam penyampaian perkhidmatan dan kemesraan terhadap pelabur di Johor
- Kulai menarik pelaburan dengan inisiatif Fast Lane yang mempercepat proses kelulusan dan mengurangkan birokrasi
- Lebih 60 peratus pelaburan di Johor tertumpu di Kulai pada suku ketiga tahun lalu
- Projek pembinaan jalan alternatif di Kulai melibatkan kos lebih RM8 juta dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas
- Pemerintah meluluskan RM1.5 juta untuk menaik taraf infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir kilat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


