Greenland syurga sumber alam semula jadi

GREENLAND memiliki beberapa rizab unsur nadir bumi (REE) yang belum diterokai yang merupakan mineral penting untuk teknologi moden, peralihan kepada tenaga bersih dan sistem pertahanan.
Berikutan peningkatan mendadak permintaan global terhadap bahan-bahan tersebut, peranan strategik Greenland sebagai sumber alternatif menjadi semakin penting.
REE ialah kumpulan terdiri daripada 17 jenis logam terdapat pada kerak bumi yang tersebar tidak sekata di seluruh dunia. Proses untuk mengekstrak dan memprosesnya adalah rumit serta mencabar.
Kesemua logam tersebut mempunyai nama yang kedengaran eksotik seperti terbium dan neodimium yang amat penting untuk pelbagai teknologi harian seperti telefon pintar serta televisyen.
Niat sebenar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk ‘menakluk’ Greenland adalah bagi memanfaatkan bekalan REE sebagai sebahagian usaha untuk menyaingi China yang kini mengawal bekalan dunia.
Sehingga 2025, China mendominasi kedua rizab REE dengan memiliki 44 juta tan metrik iaitu separuh daripada bekalan dunia dianggarkan berjumlah 91.9 juta tan metrik.
Laporan Pusat Kajian Geologi AS (USGS) menganggarkan rizab di Greenland berjumlah kira-kira 1.5 juta tan metrik yang dianggap penting untuk penghasilan magnet berprestasi tinggi, bateri kereta elektrik (EV), turbin angin dan peralatan ketenteraan.

Syurga REE di Nuuk tertumpu di kawasan selatan terutamanya di tapak Kvanefjeld di perbandaran Kujalleq yang mengandungi simpanan besar neodimium, disprosium dan unsur lain yang mempunyai nilai tinggi kepada industri.
Ringkasnya, REE merupakan tulang belakang tersembunyi dunia yang menyokong kemajuan dunia berteraskan teknologi.
Namun, REE bukanlah satu-satunya sumber semula jadi yang belum diterokai di Nuuk. Terdapat juga mineral lain termasuk berlian, emas, nikel titanium, tungsten dan zink serta rizab minyak dan gas asli.
Walaupun memiliki rizab yang besar, aktiviti perlombongan di Greenland dibatasi pelbagai cabaran logistik berikutan infrastruktur yang terhad, iklim yang mencabar dan penguatkuasaan peraturan alam sekitar yang ketat.
Pada 2021, Parlimen Nuuk meluluskan undang-undang menyekat hasil sampingan uranium yang secara langsung menjejaskan garis masa projek perlombongan utama.
Di persekitaran Artik yang rapuh, aktiviti sedemikian sememangnya membawa risiko besar kerana bahan kimia toksik dan uranium radioaktif yang sering ditemui bersama REE boleh mencetuskan kebocoran radiasi serta pencemaran serius, sekali gus memberi impak kepada keseimbangan ekologi.
Laluan strategik
Selain rizab alam semula jadi, lokasi Greenland dan pencairan ais yang kian meningkat di sekelilingnya turut menarik minat Trump.
Keadaan ais Laut Artik yang mencair mewujudkan lebih banyak peluang menggunakan laluan perkapalan utara, sekali gus membolehkan syarikat logistik menjimatkan jutaan dolar untuk kos bahan api dengan mengambil laluan pendek antara Asia dan Eropah Barat serta AS.
Sebelum ini, Laluan Utara hanya boleh diakses pada bulan-bulan lebih panas. Beberapa laluan utama di Artik kini semakin mudah dilalui termasuk Laluan Laut Utara (NSR) yang mengikuti sempadan utara Rusia sejauh kira-kira lebih 24,000 kilometer dan tidak melalui Greenland.
Rusia dan China telah bersetuju untuk membangunkannya bersama selepas sebuah kapal komersial milik Moscow dibantu kapal pemecah ais pertama kali melintasi NSR ketika musim sejuk pada Februari 2021.
Laluan Barat Laut yang lebih hampir dengan pantai Greenland pula dipercayai menjadi tumpuan utama pentadbiran Trump.
Menurut Institut Artik, laluan Laut Utara boleh menjimatkan kos sehingga 50 peratus berbanding laluan Terusan Suez selain memendekkan jarak dari Jepun ke Eropah.
Ia hanya mengambil masa kira-kira 10 hari berbanding 22 hari yang diperlukan untuk berlayar di sekitar hujung selatan Afrika dan melalui Terusan Suez sebelum ini.
Analisis oleh Middlebury Institute of International Studies pada 2024 juga mengesahkan Laluan Utara dapat mengurangkan tempoh perjalanan yang hanya mengambil 10 hari dari Shanghai, China ke Rotterdam, Belanda.
Apabila suhu laut naik dan ais mencair, lebih banyak kapal dijangka melalui Laluan Utara.
Oleh itu, kawalan ke atas laluan itu dan pesisir Greenland dijangka menjadi lebih penting untuk tempoh beberapa dekad akan datang.
AS bukanlah satu-satunya kuasa global yang berminat untuk memperluaskan pengaruh mereka di Greenland dan Artik.
Pada 2018, China melancarkan melancarkan dasar Laluan Sutera Kutub yang mana ia secara kontroversi menggelar dirinya sebagai ‘Negara hampir Artik’.
Washington semakin berasa tergugat dengan Beijing berikutan China terus berusaha mengembangkan pengaruhnya di rantau tersebut melalui ekspedisi penyelidikan saintifik, pelaburan infrastruktur dan pemerolehan sumber semula jadi sejak tujuh tahun lalu. Situasi ini jelas menunjukkan kepentingan geostrategik Greenland yang menjadi tumpuan persaingan kuasa besar.
Ringkasan AI
- GREENLAND memiliki rizab unsur nadir bumi yang belum diterokai penting untuk teknologi moden dan tenaga bersih
- Demand global yang meningkat membuat Greenland penting sebagai sumber alternatif REE
- REE adalah kumpulan 17 jenis logam yang proses ekstraksi dan pemprosesannya kompleks
- Presiden AS, Donald Trump berminat dengan Greenland untuk saingi China dalam bekalan REE
- Logistik dan cabaran iklim menyukarkan aktiviti perlombongan di Greenland meskipun memiliki sumber semula jadi yang besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

