“Dok rumah, toksah keluaq!!”- pesan Mukhriz

Mukhriz (tengah) menyerahkan sumbangan cecair pencuci tangan dan topeng muka kepada petugas kesihatan untuk digunakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Mukhriz (tengah) menyerahkan sumbangan cecair pencuci tangan dan topeng muka kepada petugas kesihatan untuk digunakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan negeri Kedah untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat supaya duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Exco Penerangan, Mohd Firdaus Ahmad berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menggunakan pendekatan memaparkan pesanan ‘Dok rumah, toksah keluaq!!’ pada bungkusan beras dan cecair pencuci tangan yang diedarkan kepada golongan memerlukan.

“Kita pelbagaikan kaedah penyampaian secara kreatif dan santai supaya rakyat mudah faham apa yang kita mahu sampaikan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mangsa ribut (tengah) menerima sumbangan beras daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh wakil kawasan masing-masing.
Mangsa ribut (tengah) menerima sumbangan beras daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh wakil kawasan masing-masing.

Mohd Firdaus berkata, bantuan berkenaan tidak sewajarnya dipolitikkan pihak tertentu kerana ia hanya pesanan daripada ketua kerajaan kepada rakyat tanpa melambangkan kepartian.

“Hanya tertera logo Kedah, mesej kepada rakyat serta gambar Mukhriz, sepatutnya pihak berkenaan melihat kepada aspek lebih penting iaitu pesanan yang ingin disampaikan iaitu duduk di rumah sepanjang tempoh PKP, bukan bangkitkan isu remeh,” katanya.

Menurutnya, bantuan berkenaan diagihkan kepada petugas barisan hadapan termasuk mangsa ribut sekitar Alor Setar semalam.

Mohd Firdaus berkata, pihaknya turut aktif menggunakan laman sosial bagi menguarkan kempen ‘Duduk di rumah’ khususnya kepada golongan muda.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah lain termasuk gunakan Facebook dan Instagram untuk mengingatkan rakyat Kedah supaya mematuhi PKP,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menggunakan papan iklan di sepanjang jalan raya utama yang mengingatkan bahaya Covid-19, dengan paparan ‘Kalau anda sedang baca amaran ini dan tidak ada urusan mendesak, anda telah ingkar perintah. Tolong balik sekarang, dok di rumah!

Gambar Mukhriz pada barangan bantuan dan dipertikai pihak tertentu tular di laman sosial.
Gambar Mukhriz pada barangan bantuan dan dipertikai pihak tertentu tular di laman sosial.