Pemilik hotel ‘mesra gay’ mohon maaf, akui pengurusan cuai

MELAKA - Pemilik sebuah hotel yang terpalit kontroversi berhubung promosi konsep ‘mesra gay’ tampil memohon maaf dan mengakui berlaku kecuaian dalam pengurusan premis berkenaan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, pemilik premis telah hadir ke Pejabat MPHTJ pada Khamis lalu bagi memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, pihak premis mengemukakan permohonan maaf serta mengakui kandungan promosi di laman sesawang hotel berkenaan dimuat naik akibat kecuaian pengurusan.
“Pihak premis juga telah mengambil tindakan segera dengan menurunkan kandungan promosi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sapiah berkata, semakan lanjut mendapati premis terbabit gagal mendaftar dan membuat bayaran Caj Warisan bagi tempoh tahun 2024 sehingga kini.
“Selain itu, premis berkenaan perlu menambah pelesenan tred bagi beberapa aktiviti tambahan yang dijalankan.
“Premis turut diarahkan mematuhi syarat kehadiran sekurang-kurangnya seorang pekerja warganegara di kaunter pada setiap masa,” katanya.
Beliau berkata, lesen perniagaan premis hanya akan dipulangkan selepas semua arahan dan syarat yang ditetapkan oleh MPHTJ dipatuhi sepenuhnya.
Sebagai tindakan susulan, katanya, MPHTJ telah mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel) MPHTJ 2011.
“MPHTJ menegaskan akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengambil kira kesejahteraan dan keharmonian masyarakat setempat.
“Tindakan lanjut termasuk pembatalan lesen dan sekatan permohonan perniagaan pada masa hadapan boleh diambil terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi arahan selepas peringatan diberikan,” katanya.
Pada Khamis, pemilik hotel berkenaan hadir ke Pejabat MPHTJ di Melaka Mall di sini sekitar jam 10 pagi bagi sesi pertemuan yang turut melibatkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia susulan aduan serta semakan berhubung kandungan promosi di laman sesawang premis tersebut yang didapati tidak selaras dengan garis panduan dan sensitiviti tempatan, selain isu pematuhan syarat pelesenan.
Ringkasan AI
- Pemilik hotel 'mesra gay' di Melaka memohon maaf, akui pengurusan cuai
- Premis gagal mendaftar dan membuat bayaran Caj Warisan bagi tahun 2024
- Premis diarahkan mematuhi syarat kehadiran sekurang-kurangnya seorang pekerja warganegara di kaunter
- Lesen perniagaan hanya akan dipulangkan selepas semua syarat MPHTJ dipatuhi
- MPHTJ mengeluarkan kompaun atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

