AS rancang serang Iran dalam masa terdekat?

Trump (duduk) di pejabat Oval, Rumah Putih. Foto: Agensi
Trump (duduk) di pejabat Oval, Rumah Putih. Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Kemungkinan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran dilaporkan meningkat dengan ketara dalam beberapa hari kebelakangan ini, susulan dakwaan bahawa Iran masih gagal mengawal protes di negara tersebut, menurut laporan media Israel.

Menurut stesen televisyen Channel 12, perubahan pendirian Washington ke arah kemungkinan menyerang Iran berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump mengadakan perbincangan panjang dengan penasihat-penasihatnya pada Selasa.

Sumber Amerika yang dipetik menyatakan bahawa memandangkan "pembunuhan di Iran masih berterusan", Trump dijangka "terpaksa mengambil tindakan dalam satu atau dua hari akan datang".

The New York Times melaporkan bahawa Trump telah dikemukakan beberapa pilihan tindakan dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk serangan baharu terhadap program nuklear Iran yang turut disasarkan AS bersama Israel pada Jun lalu atau ke atas program peluru berpandu balistiknya.

Pilihan lain termasuk menyerang infrastruktur keselamatan dalaman Iran atau melancarkan serangan siber, dengan dua pilihan terakhir dianggap lebih berkemungkinan berbanding serangan terhadap sasaran nuklear atau peluru berpandu.

Pegawai yang dipetik berkata, kemungkinan beberapa hari diperlukan sebelum tindakan AS diumumkan secara rasmi.

Trump sebelum ini telah beberapa kali mengancam untuk campur tangan di Iran, walaupun tanpa memberikan butiran khusus, manakala protes besar-besaran terus berlaku di kesemua 31 wilayah Iran.

Protes yang bermula sebagai bantahan ekonomi pada 28 Disember lalu dengan cepat berkembang menjadi demonstrasi anti-rejim.

Pada Rabu, Trump menyatakan bahawa Washington telah dimaklumkan bahawa pembunuhan penunjuk perasaan telah dihentikan dan Republik Islam itu tidak akan meneruskan pelaksanaan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan.

“Kami telah dimaklumkan dengan jelas tetapi kita akan lihat maksud sebenar. Mereka memberitahu bahawa pembunuhan di Iran telah berhenti, dan ia telah berhenti,” kata Trump di Pejabat Oval, sambil enggan mendedahkan pihak mana yang menyampaikan maklumat tersebut.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, kerajaan berada dalam kawalan penuh selepas menumpaskan protes melalui tindakan keras.

“Selepas tiga hari operasi pencegahan keganasan, kini keadaan tenang. Kami berada dalam kawalan penuh,” katanya kepada Fox News. - Agensi

Ringkasan AI

  • Kemungkinan Amerika Syarikat menyerang Iran meningkat susulan protes di Iran masih tidak terkawal
  • Perubahan pendirian AS terjadi selepas Trump berbincang dengan penasihat
  • Trump dijangka mengambil tindakan terhadap Iran dalam satu atau dua hari
  • Trump dikemukakan beberapa pilihan tindakan termasuk serangan terhadap program nuklear Iran atau serangan siber
  • Protes di Iran bermula sebagai bantahan ekonomi dan berkembang menjadi demonstrasi anti-rejim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!