55 juta penduduk Afrika Barat, Tengah berisiko kebuluran teruk tahun ini - PBB

GENEVA - Kira-kira 55 juta penduduk di Afrika Barat dan Afrika Tengah dijangka berdepan ketidaktentuan makanan akut semasa musim lapar antara Jun hingga Ogos 2026, agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Jumaat, memetik analisis keselamatan makanan serantau terkini, lapor Anadolu Ajansi.
Pengarah Analisis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Program Makanan Dunia (WFP) Jean Martin Bauer bercakap kepada wartawan di Geneva yang angka itu merangkumi individu yang diklasifikasikan berada dalam keadaan krisis, kecemasan atau bencana mengikut skala keselamatan makanan serantau.
Bauer berkata, kira-kira tiga juta orang dijangka berdepan keadaan kecemasan, iaitu dua kali ganda berbanding paras yang direkodkan pada 2020.
Buat pertama kali dalam tempoh sedekad, beberapa kawasan di timur laut Nigeria, khususnya di Negeri Borno, dijangka menyaksikan penduduk berada dalam tahap bencana ketidaktentuan makanan, katanya.
"Ini adalah kumpulan yang hanya selangkah lagi ke arah kebuluran," katanya, sambil menjelaskan yang dianggarkan 15,000 orang di kawasan tertentu di Borno terjejas.
Beliau memberi amaran yang kadar kematian di kawasan itu adalah "jauh melebihi paras normal" dan menyatakan secara terus terang yang "ramai orang sedang kebuluran".
Walaupun musim hujan terakhir agak membantu, Bauer menegaskan yang krisis itu bukan didorong oleh faktor iklim, sebaliknya berpunca daripada keganasan dan pengurangan besar dalam pembiayaan bantuan kemanusiaan.
Beliau berkata, WFP terpaksa menghentikan bantuan kepada kira-kira 300,000 kanak-kanak di Nigeria dan mungkin mengurangkan bantuan kepada setengah juta penduduk di Cameroon akibat kekurangan sumber.
Bauer berkata, kira-kira 13 juta kanak-kanak di seluruh rantau itu berisiko pada 2026, sekali gus menekankan keperluan untuk mengutamakan program pemakanan.
WFP menganggarkan ia memerlukan US$453 juta dalam tempoh enam bulan akan datang bagi mengekalkan bantuan penting dan mencegah kemerosotan lanjut dalam tahap pengambilan makanan serta penunjuk pemakanan kanak-kanak. - Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Kira-kira 55 juta penduduk di Afrika Barat dan Afrika Tengah dijangka berdepan ketidaktentuan makanan akut antara Jun hingga Ogos 2026
- Tiga juta orang dijangka berdepan keadaan kecemasan, dua kali ganda daripada tahun 2020
- Kawasan timur laut Nigeria menyaksikan tahap bencana ketidaktentuan makanan, pertama kali dalam sedekad
- Krisis ketidaktentuan makanan berpunca daripada keganasan dan pengurangan pembiayaan bantuan kemanusiaan
- WFP memerlukan US$453 juta untuk mengekalkan bantuan penting dan mencegah kemerosotan tahap pengambilan makanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
