Tamat kursus TVET, 14 asnaf kini penyelam komersial

Syamsul Hazeman (tiga dari kanan) bersama peserta TVET MAIPk bagi Kursus Penyelaman Komersial yang diraikan di Kompleks Islam Darul Ridzuan baru-baru ini.
Syamsul Hazeman (tiga dari kanan) bersama peserta TVET MAIPk bagi Kursus Penyelaman Komersial yang diraikan di Kompleks Islam Darul Ridzuan baru-baru ini.
A
A
A

IPOH – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus memperkasa golongan asnaf apabila berjaya melahirkan 14 peserta penyelaman komersial menerusi pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi.

MAIPk dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, program latihan berimpak tinggi itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM315,000 yang merangkumi yuran latihan, penginapan, makan dan minum, elaun bulanan serta elaun permulaan kerja bagi peserta terlibat.

Seramai 14 peserta berusia antara 18 hingga 35 tahun berjaya menamatkan kursus penyelaman komersial yang dilaksanakan pada Disember 2025 menerusi kerjasama strategik antara MAIPk dan VETA Kolej.

"Para peserta akan memulakan kerjaya sebagai ‘tender’ dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 bagi tempoh satu bulan sebelum dinaik taraf sebagai penyelam profesional.

"Sebagai penyelam komersial bertauliah, mereka berpotensi memperoleh pendapatan bulanan antara RM4,000 hingga RM6,000, bergantung kepada tugasan dan pengalaman masing-masing," menurut kenyataan itu.

Kejayaan itu diraikan dalam Majlis Tamat Latihan Peserta TVET MAIPk bagi Kursus Penyelaman Komersial yang diadakan di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.

Lebih membanggakan, kesemua peserta menerima surat tawaran pekerjaan daripada Divestuff International Sdn Bhd pada majlis tersebut, seterusnya membuka laluan kerjaya secara langsung sejurus tamat latihan.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan institusi itu dalam menyediakan peluang pembangunan kemahiran dan kerjaya mampan kepada golongan asnaf.

Pelaksanaan program TVET itu mencerminkan pendekatan berstruktur MAIPk dalam membangunkan modal insan asnaf berasaskan keperluan industri, sekali gus memastikan kebolehpasaran graduan serta penempatan kerjaya yang terjamin.

Menurut MAIPk, usaha berkenaan juga dilihat mampu mengurangkan risiko kemiskinan jangka panjang, selain meningkatkan taraf sosioekonomi peserta dan keluarga mereka.

Jelasnya, inisiatif tersebut membuktikan bahawa kemahuan, disiplin dan kesungguhan mampu mengatasi kekangan latar belakang sekiranya disokong dengan latihan berkualiti dan peluang yang tepat, seterusnya membina masa depan yang lebih stabil dan mampan.

Ringkasan AI

  • MAIPk melahirkan 14 peserta penyelaman komersial melalui program TVET
  • Program latihan tersebut melibatkan kos RM315,000 termasuk yuran latihan, penginapan, makan, minum, elaun bulanan dan elaun permulaan kerja
  • Peserta berusia antara 18 hingga 35 tahun, kerjasama antara MAIPk dan VETA Kolej
  • Peserta bermula kerjaya dengan gaji permulaan RM2,500, berpotensi pendapatan RM4,000 hingga RM6,000
  • Kesemua peserta menerima surat tawaran pekerjaan dari Divestuff International Sdn Bhd

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!