[VIDEO] Himpunan Turun Anwar kali kedua: 'Saya tak gentar, tetap teruskan perjuangan ini' - PM
PERMATANG PAUH - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak gentar dan akan terus memimpin negara walaupun ada usaha menggerakkan Himpunan Turun Anwar buat kali kedua bagi mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Menurut Anwar, beliau akan teruskan perjuangannya dalam melaksanakan rancangan kerajaan Madani untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi negara serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

"Tidak berterima kasih, tak apa tetapi jangan lah memaki hamun dan sekarang dah rancang nak buat Perhimpunan Turun Anwar buat sekali lagi. Buat lah, saya tetap akan teruskan perjuangan ini.
"Saya manfaatkan waktu ini untuk menjelaskan kerana nanti akan ada orang persoal mengapa jelaskan dalam forum seperti ini. Di mana lagi kita nak terangkan?
"Di Permatang Pauh ini, ada sanak saudara dan keluarga saya. Saya tidak mahu mereka dengar fitnah dan termakan dengan hasutan," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Madani Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Anwar meletakkan jawatan kerana mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) bersama Amerika Syarikat (AS) menggugat kedaulatan negara serta hak Melayu dan Raja-Raja.
Dr Mahathir dilaporkan menuduh perjanjian itu memaksa Malaysia membeli barangan AS bernilai AS$150 bilion (RM634 bilion) termasuk 30 pesawat Boeing dan gas AS$3.4 bilion (RM14.28 bilion) setahun.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui kepimpinannya sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Madani sejak 2022 mempunyai kelemahan.
Beliau turut terbuka untuk menerima kritikan dan nasihat dalam cara yang betul bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada.
"Dalam bawah pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, tidak ada kelemahan. Itu tidak betul. Ada kelemahan. Memang ada (kelemahan). Ada yang belum saya buat, betul.
"Masih banyak yang saya belum lakukan. Tegurlah, kritiklah, nasihatlah tetapi dengan cara tidak gila.
"Betul, saya kata kalau kita menang, minyak kita akan turunkan tetapi saya ambil masa untuk melaksanakan. Saya minta maaf sebab ambil masa yang panjang (untuk melaksanakannya). Kerana apa? Masa saya bercakap tu, hutang negara baru RM800 juta.
"Masa saya jadi Perdana Menteri, hutang dah RM1.5 trilion. Kena cari jalan supaya negara tidak terbeban dengan hutang. Jadi sebab itu, hampir tiga tahun saya umumkan baru laksanakan. Ya, saya salah. Saya minta maaf kerana ambil masa," katanya.
Pada 22 September lalu, Anwar mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September bagi rakyat tempatan.
Beliau berkata, bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh sama.
Anwar berkata, penyasaran subsidi di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) itu dengan semua warganegara layak untuk harga RM1.99 dan pada masa sama harga di pam dinaikkan kepada harga tanpa subsidi.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan terus memimpin negara walaupun ada usaha kedua mendesaknya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri
- Anwar bertekad mempertahankan perjuangannya dalam melaksanakan rancangan kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara
- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Anwar meletakkan jawatan kerana isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas bersama Amerika Syarikat
- Anwar mengakui kepimpinannya memiliki kelemahan dan terbuka untuk menerima kritikan dalam memperbaiki kelemahan tersebut
- Anwar mengumumkan pelaksanaan harga petrol RON95 pada RM1.99 untuk rakyat tempatan bermula 30 September sebagai langkah mengurangkan beban kewangan rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

