Ahmad Fadhli raih undi tertinggi pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat muncul sebagai calon paling popular apabila meraih undi tertinggi sebanyak 1,096 undi dalam Pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi penggal 2025–2027 yang diumumkan pada Selasa.
Ketua Jawatankuasa Pemilih, Wan Rohimi Wan Daud berkata, undi kedua terbanyak diperoleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan jumlah 1,062 undi.
Menurutnya, Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berada di tempat ketiga dengan 1,028 undi.
“Muhammad Khalil Abdul Hadi memperoleh 1,018 undi dan berada pada kedudukan keempat, diikuti Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin dengan 920 undi,” katanya.
Berdasarkan keputusan itu, lima individu teratas yang dipilih merupakan golongan profesional dan bukan berlatar belakangkan ulama.
Antara muka baharu yang berjaya tersenarai ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Senarai jawatankuasa berkenaan turut menyaksikan kemunculan semula Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam barisan AJK Pas Pusat setelah beliau menyepi dalam arena politik sebelum ini.
Antara yang kekal ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendapat 897 undi.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli gagal meraih sebarang undi untuk berada dalam senarai AJK apabila tewas dalam pemilihan kali ini.
Pada Jun lalu, Mohd Shukri turut gagal merebut jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Arau.
Proses pengundian diadakan dalam tempoh lebih sejam untuk memilih 18 ahli jawatankuasa daripada keseluruhan 30 calon, melibatkan kira-kira 1,100 perwakilan. Hampir 10 peratus daripada perwakilan berdaftar tidak mengundi.
Senarai 18 Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (2025–2027):
Ahmad Fadhli Shaari (1,096)
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (1,062)
Dr Haim Hilman Abdullah (1,028)
Muhammad Khalil Abdul Hadi (1,018)
Ir Khairil Nizam Khirudin (920)
Datuk Mohd Nassuruddin Daud (897)
Datuk Dr Azman Ibrahim (868)
Dr Halimah Ali- (866)
Datuk Siti Zailah Mohamad Yusof (865)
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari (854)
Ahmad Amzad Hashim (802)
Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (731)
Dr Riduan Mohamad Nor (721)
Datuk Seri Shahidan Kassim (717)
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (713)
Datuk Awang Hashim (688)
Datuk Mumtaz Md Nawi (682)
Datuk Iskandar Abdul Samad (680)
Keputusan ini sekali gus menyaksikan gandingan tokoh lama dan baharu, termasuk tokoh ulama, profesional serta wakil wanita, diyakini dapat memperkukuhkan hala tuju Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Ringkasan AI
- Ahmad Fadhli Shaari meraih undi tertinggi dalam Pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat penggal 2025-2027 Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendapat undi kedua terbanyak Lima individu teratas yang dipilih merupakan golongan profesional Antara muka baru yang berjaya tersenarai termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kembali dalam barisan AJK Pas Pusat setelah absen dalam arena politik sebelumnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

