Lagi kren runtuh di Thailand, sehari selepas 32 terbunuh

SAMUT SAKHON – Sehari selepas 32 orang terbunuh akibat kejadian kren jatuh di timur laut, Thailand, negara itu berdepan satu lagi insiden serupa di pinggir ibu negara Bangkok yang mengorbankan dua orang manakala lima lagi cedera.
Menurut Ketua Polis Daerah tempatan, Kolonel Sitthiporn Kasi berkata, kejadian itu berlaku ketika kren digunakan untuk membina lebuh raya bertingkat tiba-tiba jatuh menimpa jalan di bawahnya.
Seorang pegawai polis lain memaklumkan bahawa lima individu turut mengalami kecederaan akibat nahas tersebut.
Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, firma pembinaan yang sama, Italian-Thai Development terlibat dalam kedua-dua kejadian maut itu.
"Firma tersebut dilantik untuk membina sebahagian projek kereta api berkelajuan tinggi di Thailand," ujarnya.
Menurut laporan media tempatan, kejadian terbaharu itu berlaku di hadapan Paris Inn Garden Hotel.
Rakaman video menunjukkan debu dan runtuhan berselerak di lokasi selepas kren itu jatuh.
Pada Rabu, sebuah kren di tapak projek kereta api berkelajuan tinggi yang disokong China di Thailand telah tumbang dan menghempap sebuah kereta api penumpang.
Ia menyebabkan kereta api berkenaan tergelincir serta mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang.
Ringkasan AI
- Sehari selepas kejadian kren jatuh yang meragut 32 nyawa di Thailand, satu insiden serupa di Samut Sakhon mengakibatkan dua kematian dan lima cedera
- Kren jatuh tersebut digunakan untuk pembinaan lebuh raya bertingkat dan tiba-tiba jatuh menimpa jalan di bawahnya
- Firma pembinaan Italian-Thai Development terlibat dalam kedua-dua kejadian maut tersebut
- Firma tersebut juga dilantik untuk membina sebahagian projek kereta api berkelajuan tinggi di Thailand
- Kejadian terbaharu berlaku di hadapan Paris Inn Garden Hotel, menyebabkan debu dan runtuhan berselerak di lokasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

