'Sebab tu kita ni tak boleh tinggal al-Quran, tuhan nak tunjuk'

Syed Abdul Hamid (tengah) memegang al-Quran bersama air zamzam yang selamat dalam kebakaran rumahnya. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Syed Abdul Hamid (tengah) memegang al-Quran bersama air zamzam yang selamat dalam kebakaran rumahnya. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
A
A
A

KOTA BHARU - Sebotol air zamzam dan senaskah al-Quran tidak hangus dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dan lima kenderaan termasuk tiga kereta antik di Kampung Kubur Maras, Langgar di sini pada Khamis.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika penghuninya, Siti Haminah Daud, 64, sedang bersiap untuk berwuduk bagi menunaikan solat Zuhur.

Warga emas juga pesara kerajaan itu turut menyifatkan, kejadian al-Quran dan air zamzam yang selamat tersebut sebagai tanda kebesaran Allah SWT sekali gus mengundang keinsafan dalam dirinya serta keluarga.

“Sebab tu kita ni tak boleh tinggal Quran, tuhan nak tunjuk, kuat mana pun api, Quran tu selamat, saya selalu guna Quran tu, harap jadi pengajaran juga kepada orang lain.

Al-Quran yang tidak musnah dalam kebakaran sebuah rumah. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Al-Quran yang tidak musnah dalam kebakaran sebuah rumah. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

“Air zamzam tu pun dari Makkah, tempat molek dan saya sakit ni memang amalkan minum,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Siti Haminah berkata, kediamannya terputus bekalan elektrik sejak jam 3 pagi dan dia bersendirian di rumah tersebut apabila suaminya, Syed Abdul Hamid Syed Ahmad, 77, juga seorang pesara guru keluar ke masjid berhampiran untuk solat jemaah pada waktu tengah hari.

“Saya pula turun ke dapur untuk ke bilik air mengambil wuduk, tiba-tiba dengar bunyi meletup dan nampak api menyala di kotak fius.

Artikel Berkaitan:

“Saya terus menjerit "tolong...api...api...” sebelum anak jiran datang bantu dan bawa saya keluar dari rumah,” katanya.

Siti Haminah (kiri) dipimpin suaminya keluar dari kawasan rumah mereka yang hangus. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Siti Haminah (kiri) dipimpin suaminya keluar dari kawasan rumah mereka yang hangus. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

Ibu kepada tiga anak yang mengalami kesakitan tulang belakang itu hanya sempat mencapai beg tangan yang berada berdekatan.

Kejadian musnahkan keseluruhan rumah daripada separuh kayu dan separuh batu tersebut bersama kereta antik milik suaminya jenis Fiat 124S dari 1969, Ford Escort GT (1976), Honda Life 360 selain van Dihatsu dan Honda CRV.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Ridzuan Baharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang.

"Seramai 18 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bersama BBP Kota Darul Naim dengan empat jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.45 petang," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Bharu, Salihah Kamarudin turut hadir menyampaikan bantuan segera berjumlah RM300 selain barang keperluan asas untuk meringankan beban keluarga mangsa.

Ringkasan AI

  • Sebotol air zamzam dan senaskah al-Quran tidak hangus dalam kebakaran yang memusnahkan rumah dan lima kenderaan di Kampung Kubur Maras
  • Kebakaran berlaku ketika penghuninya, Siti Haminah Daud sedang bersiap untuk solat Zuhur
  • Siti Haminah menganggap kejadian itu sebagai tanda kebesaran Allah dan mengundang keinsafan
  • Kejadian itu menyebabkan keseluruhan rumah dan kereta antik milik suaminya musnah
  • Bantuan segera dan barang keperluan asas disampaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Bharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!