Imej 'gila perang' Trump

Trump mengamalkan sikap uniletaral dan bersikap suka berperang.
Trump mengamalkan sikap uniletaral dan bersikap suka berperang.
A
A
A

WALAUPUN Donald Trump sering menafikan dirinya sebagai Presiden yang mencetuskan peperangan, namun corak tingkah laku, retorik dan keputusan geopolitik sepanjang kepimpinannya membentuk satu persepsi global yang sukar disangkal.

Trump dilihat sebagai pemimpin yang terlampau taasub dengan kuasa ketenteraan dan gemar menggunakan ancaman perang sebagai bahasa diplomasi.

Dalam kalangan penganalisis antarabangsa, pendekatan itu bukan lagi dianggap strategi pencegahan semata-mata, sebaliknya menyerupai sikap 'gila perang' yang menjadikan konflik sebagai alat politik.

Sejak awal pentadbiran, Trump mempamerkan kecenderungan bertindak secara impulsif dan unilateral dalam isu keselamatan antarabangsa.

Serangan ke atas Syria, tekanan ketenteraan terhadap Iran, operasi agresif di Yemen dan campur tangan di Venezuela memperlihatkan bagaimana kuasa ketenteraan digunakan dengan mudah tanpa mandat antarabangsa yang jelas.

Dalam banyak keadaan, keputusan tersebut dibuat melalui arahan eksekutif, tanpa proses diplomasi menyeluruh atau persetujuan Kongres Amerika Syarikat (AS) sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa kuasa perang telah dinormalisasikan sebagai pilihan pertama dan bukan lagi jalan terakhir.

Lebih membimbangkan, Trump bukan sahaja menyerang negara lain, malah secara terbuka mengugut tindakan ketenteraan terhadap negara yang tidak pun berada dalam konflik langsung dengan Washington.

Ugutan terhadap Cuba, Colombia, bahkan Greenland memperlihatkan pendirian yang mengaburkan garis antara diplomasi dan paksaan ketenteraan.

Dalam konteks geopolitik moden, ancaman sedemikian dianggap berbahaya kerana ia merendahkan prinsip kedaulatan negara dan menghidupkan kembali logik imperialisme yang sepatutnya telah lama ditinggalkan.

Artikel Berkaitan:

Retorik Trump sering bersifat provokatif dan tidak diplomatik dengan kenyataan yang dibuat secara terbuka tanpa mengambil kira implikasi strategik jangka panjang.

Ancaman perang dijadikan alat rundingan, sementara kekuatan tentera AS digunakan sebagai simbol dominasi, bukan kestabilan.

Keadaan berkenaan mewujudkan suasana ketidakpastian global yang mana sekutu sendiri tidak lagi yakin terhadap hala tuju dasar luar Washington.

Dari sudut geopolitik, sikap agresif itu turut mempercepatkan peralihan dunia ke arah sistem berbilang kutub (multipolar) yang tidak stabil.

Apabila Amerika bertindak secara semborono, kuasa lain seperti China dan Rusia mengambil peluang mengukuhkan pengaruh mereka dengan alasan menentang unilateralisme Barat.

Akibatnya, dunia menjadi semakin berpecah dan risiko konflik berskala besar meningkat.

Imej 'gila perang' yang sinonim dengan Trump bukan lahir secara kebetulan.

Ia terbentuk hasil gabungan tindakan ketenteraan berulang, ugutan terbuka terhadap negara lain dan kecenderungan melihat konflik sebagai alat politik.

Meskipun pendekatan tersebut mungkin memberi kesan jangka pendek dari sudut tekanan geopolitik, namun dalam jangka panjang ia melemahkan kredibiliti AS selaku negara kuasa besar dan menghakis norma masyarakat antarabangsa yang selama ini mengekang dunia daripada terjerumus ke dalam kancah peperangan berterusan.

Dalam kerangka berkenaan, Trump bukan sekadar mencabar musuh tradisi Washington malah menggugat asas sistem antarabangsa yang dibina pasca-Perang Dunia Kedua.

Prinsip multilateralisme, undang-undang antarabangsa dan penyelesaian konflik melalui diplomasi semakin terhakis apabila kuasa besar bertindak mengikut naluri politik domestik dan kepentingan jangka pendek.

Dunia menyaksikan bagaimana ancaman ketenteraan digunakan sebagai retorik populis untuk meraih sokongan dalaman walaupun kesannya menyaksikan ketegangan global yang berpanjangan, selain peningkatan risiko salah tafsir strategik antara kuasa besar.

Ringkasan AI

  • Donald Trump dilihat sebagai pemimpin yang gemar menggunakan kuasa ketenteraan dan ancaman perang sebagai bahasa diplomasi
  • Pendekatan Trump menunjukkan kecenderungan bertindak secara impulsif dan unilateral dalam isu keselamatan antarabangsa
  • Keputusan ketenteraan Trump sering dibuat tanpa mandat antarabangsa jelas atau persetujuan Kongres AS
  • Penggunaan ancaman perang oleh Trump merendahkan prinsip kedaulatan negara dan menghidupkan kembali logik imperialisme
  • Sikap agresif Trump mempercepatkan peralihan dunia ke arah sistem geopolitik berbilang kutub yang tidak stabil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!