Kematian yang menghidupkan

Kisah hebat seorang pemuda, Allahyarham Amirrul Mukminin Mohd Zain, 27, yang mendermakan tujuh organ miliknya membuka mata ramai tentang nilai kemanusiaan di sebalik satu kehilangan.
Kisah hebat seorang pemuda, Allahyarham Amirrul Mukminin Mohd Zain, 27, yang mendermakan tujuh organ miliknya membuka mata ramai tentang nilai kemanusiaan di sebalik satu kehilangan.
A
A
A

KISAH hebat seorang pemuda, Allahyarham Amirrul Mukminin Mohd Zain, 27, yang mendermakan tujuh organ miliknya membuka mata ramai tentang nilai kemanusiaan di sebalik satu kehilangan.

Pemergian beliau dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur dekat Plaza Tol Kijal bukan sekadar duka keluarga, tetapi menjadi titik harapan bagi beberapa insan lain yang memerlukan nyawa baharu.

Dalam keadaan keluarga reda dan amanat derma organ yang diikrarkan dihayati, mata, buah pinggang, tisu dan tulang beliau disalurkan kepada pesakit lain yang menanti dalam kesakitan.

Momen terakhir itu menjadi tular bukan kerana sensasi, tetapi kerana ia menyentuh nilai pengorbanan yang tulus ikhlas.

Namun realiti di Malaysia masih mencabar. Kadar pendermaan organ selepas kematian kekal rendah, hanya sekitar 1.33 penderma per sejuta penduduk setahun, jauh di belakang negara-negara maju seperti Sepanyol (lebih 50 penderma per sejuta) atau Amerika Syarikat (lebih 30 per sejuta).

Malah beberapa negara Islam lain seperti Turkiye juga mencatat kadar lebih tinggi berbanding Malaysia.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga Julai 2025 menunjukkan lebih 10,000 pesakit masih menunggu pemindahan organ, majoritinya pesakit buah pinggang.

Walaupun begitu, jumlah ikrar pendermaan organ menunjukkan peningkatan bermakna selepas digitalisasi pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.

Sehingga pertengahan 2025, lebih 400,000 rakyat Malaysia telah berikrar mahu menjadi penderma organ, namun jumlah itu dilihat masih jauh berbanding peratusan keseluruhan penduduk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mengapa kadar sebenar pendermaan masih rendah? Beberapa faktor termasuk:

Kurangnya kesedaran mendalam tentang prosedur pendermaan.

Kehendak keluarga yang tidak memberi kebenaran walaupun daftar pendermaan telah dibuat oleh si mati.

Persepsi agama dan budaya yang masih kabur dalam kalangan masyarakat.

Soal agama sering menjadi fokus perbincangan. Dari sudut Islam, pendermaan organ adalah harus dan dalam banyak keadaan dibenarkan kerana ia memenuhi salah satu teras syariah iaitu memelihara nyawa (hifz al-nafs).

Fatwa Kebangsaan Malaysia 1970 menyatakan pendermaan organ selepas kematian adalah harus, selagi mendapat kebenaran waris.

Malah, fatwa di beberapa negara Islam juga menyokong pendermaan organ selepas kematian dengan syarat niatnya untuk menyelamatkan nyawa dan tidak melibatkan unsur komersial.

Prinsip ini berasaskan kepada sumber al-Quran dan Sunnah serta kaedah fiqh seperti al-istihsan (mengutamakan kemaslahatan).

Perbandingan antarabangsa turut memberi gambaran jelas tentang peluang yang masih belum digapai. Contohnya, negara seperti Sepanyol menerajui dunia dengan sistem opting-out di mana setiap individu dianggap secara automatik penderma kecuali secara eksplisit menolak.

Ini menjadikan kadar pendermaan di Sepanyol berkali ganda lebih tinggi daripada sistem opting-in yang digunakan Malaysia.

Namun, bukan statistik semata-mata yang perlu difahami. Setiap pendermaan organ membawa cerita manusia di sebalik angka; seorang ibu yang diberi peluang melihat anaknya membesar, pesakit buah pinggang yang bebas dari mesin dialisis dan keluarga yang diselamatkan daripada kehilangan.

Kisah Allahyarham Amirrul Mukminin dan mereka yang lain mengingatkan kita bahawa kematian bukan penghujung, tetapi boleh menjadi permulaan bagi kehidupan lain.

Masyarakat perlu terus dididik, keluarga perlu lebih terbuka untuk menghormati amanat pendermaan dan nilai kemanusiaan ini ditanam sejak awal lagi.

Harapan kita supaya satu hari kelak, pendermaan organ bukan lagi luar biasa, tetapi satu budaya yang dihargai dan disambut ramai.

*Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Biro Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!