Bubar FAM, tubuhkan persatuan bola sepak baharu?

KEMELUT yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan telah menghakis kepercayaan terhadap kredibiliti badan induk bola sepak negara.
Isu ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air yang mahukan perubahan dilakukan dalam tampuk kepimpinan FAM.
Malah, kemungkinan pengurusan tertinggi FAM bakal meletakkan jawatan secara beramai-ramai bagi memberi laluan kepada pemilihan semula hangat diperkatakan.
Kononnya, ia menjadi langkah ‘jantan’ untuk memperbaiki isu dalaman.
Namun, timbul satu persoalan jika pemilihan diadakan, adakah jaminan bahawa wajah-wajah lama yang berada dalam FAM ketika isu ini berlaku tidak akan kembali bertanding?
Jika orang yang sama kembali memegang tampuk kuasa menerusi undian ahli gabungan, maka ia jelas menunjukkan bahawa tiada tanda FAM mahu melakukan perubahan menyeluruh.
Ia sekali gus menyaksikan terdapat cadangan drastik daripada peminat supaya FAM yang kini berusia 99 tahun dibubarkan dan digantikan dengan persatuan baharu.
Tindakan membubarkan persatuan secara serta-merta tanpa perancangan teliti bukanlah satu prosedur mudah kerana FAM adalah badan yang diiktiraf oleh FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Kuasa mutlak untuk membubarkan FAM juga terletak sepenuhnya di tangan ahli gabungan badan induk itu sendiri.
Pada peringkat kerajaan atau Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), tiada asas untuk sebarang campur tangan memaksa pembubaran dilakukan memandangkan struktur urus tadbir organisasi persatuan tersebut masih berada dalam keadaan yang baik dan berdepan masalah di FIFA sahaja.
Selain itu, jika dibubarkan sekali pun, proses pendaftaran persatuan baharu akan memakan masa selain risiko perang birokrasi di peringkat pendaftaran yang memungkinkan ada beberapa persatuan yang akan cuba menawarkan diri.
Ia sekali gus akan memberikan kesan kepada perjalanan bola sepak negara, merencatkan pembangunan pemain serta urusan liga tempatan.
Oleh itu, jika terdapat ketidakpuasan hati terhadap FAM, jalan penyelesaian terbaik melalui rombakan kepimpinan dalam kongres pemilihan bukannya membubarkan persatuan tersebut sepenuhnya.
FIFA juga mungkin tidak mahu sewenang-wenangnya meluluskan persatuan baharu dan seperti yang pernah dijelaskan oleh AFC sebelum ini, FIFA dan AFC memantau rapi tadbir urus ahli gabungannya.
Jika kepimpinan FAM didapati hilang kredibiliti sepenuhnya atau gagal menyelesaikan krisis dalaman, badan induk dunia itu boleh mengambil alih kuasa eksekutif.
Jawatankuasa Normalisasi akan dilantik untuk tempoh sementara bagi membersihkan pentadbiran, membetulkan tata kelola, dan yang paling penting mengadakan pemilihan baharu yang telus dan bersih.
Mungkin FAM sendiri tidak mahu FIFA dan AFC bertindak sehingga ke tahap itu. Justeru, naratif letak jawatan kemudian bertanding semula tidak sesekali boleh diterima.
Sekiranya berlaku rombakan atau pemilihan semula, satu ketetapan moral perlu diambil iaitu exco sedia ada mahupun mana-mana individu yang pernah berada dalam hierarki FAM ketika krisis ini berlaku sewajarnya berjiwa besar untuk tidak kembali bertanding.
Bola sepak Malaysia memerlukan pemulihan total dan ia perlu diterajui oleh 100 peratus muka baharu yang tiada rekod silam.
Hanya dengan cara ini, imej FAM dapat dipulihkan tanpa perlu mengambil risiko membubarkan FAM.
Namun, jika tiada perubahan berlaku dalam pemilihan nanti, mungkin krisis kepercayaan kepada FAM akan gagal diperbetulkan dan desakan untuk pembubaran terus menghantui FAM.
Ringkasan AI
- Kemelut pemalsuan dokumen di FAM menghakis kepercayaan terhadap kredibiliti badan induk bola sepak negara
- Perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai perlunya perubahan kepimpinan FAM
- Kemungkinan pengurusan FAM akan meletakkan jawatan secara beramai-ramai untuk pemilihan semula
- Cadangan drastik untuk membubarkan FAM dan menggantikannya dengan persatuan bola sepak baharu
- Penyelesaian melalui rombakan kepimpinan dalam kongres pemilihan sebagai cara terbaik mengatasi ketidakpuasan hati terhadap FAM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
