FAM buat laporan polis isu pemalsuan dokumen pemain warisan

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Rabu, susulan dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan itu diambil selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan laporan siasatan mereka baru-baru ini.
Menurut Mohd Yusoff, FAM akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap aspek integriti, ketelusan serta usaha memperkukuh tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” katanya.
Turut hadir mengiringi Mohd Yusoff ketika membuat laporan polis ialah Naib Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM, Datuk Saaran Nadarajah dan Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Media, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
Isnin lalu, badan induk bola sepak negara itu memaklumkan akan membuat laporan polis berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, seperti yang disyorkan oleh IIC.
Menurut Mohd Yusoff, laporan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang dihantar kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Siasatan perlu dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana pemalsuan ini boleh berlaku serta pihak yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat laporan polis berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan
- Laporan polis dibuat di IPD Petaling Jaya selepas saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas yang dipengerusikan Tun Md Raus Sharif
- FAM berkomitmen memberi kerjasama penuh kepada PDRM dan menghormati proses undang-undang
- Langkah ini menunjukkan komitmen FAM terhadap integriti dan ketelusan dalam tadbir urus bola sepak
- Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana dan siapa yang bertanggungjawab atas pemalsuan dokumen yang dihantar ke FIFA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

