Anthony Loke diberi 48 jam jawab tuntutan pemandu lori, bas

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori SeMalaysia dan Persatuan Pemandu-Pemandu Lori SeMalaysia memberi tempoh 48 jam kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk menjawab 26 perkara dituntut dalam memorandum yang diserahkan pada Rabu.
Aktivis sosial yang mewakili kedua-dua persatuan berkenaan, Datuk Dr Kalai Vanar berkata, kerajaan melalui kementerian diterajui Anthony perlu mengkaji semula beberapa pelaksanaan undang-undang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didakwa menekan kumpulan berkenaan.
Menurutnya, antara perkara utama yang dituntut supaya dikaji semula ialah mata demerit, saman permit majikan, had masa operasi, penyelarasan had berat dengan muatan (BDM), penyelarasan had ketinggian muatan dan pengurangan saman kepada kadar yang minimum semasa.
“Berkali-kali saya sudah katakan kita bukan ugut (tapi) kita hendak serah memorandum. Kenapa seorang wakil rakyat, seorang menteri penuh yang mendapat gaji daripada rakyat cukup lumayan saya percaya lebih RM60,000 tidak turun?
“Maka saya bagi 48 jam kepada Menteri Anthony Loke bagi jawapan. Pengusaha lori merana, lori disita, lori dilucutkan hak. Undang-undang apa ini? undang-undang tidak masuk akal,” katanya selepas selesai penyerahan memorandum dan Perhimpunan Solidariti 1.0 di hadapan pintu masuk Parlimen pada Rabu.
Memorandum berkenaan diterima oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan (Seksyen Operasi) JPJ, Mejar (B) Adli Azmi Ahmat bagi pihak Anthony.
Mengulas lanjut, Kalai Vanar yang juga Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) berkata, perhimpunan yang dibuat itu bukan bertujuan menentang kerajaan, sebaliknya mengharapkan dasar dan peraturan yang membebankan pengusaha lori serta pemandu diteliti semula.
Ini kerana katanya, ramai pemandu lori dan bas berdepan tekanan akibat pelaksanaan pelbagai undang-undang dan saman yang dikenakan terhadap mereka.
“Kita mahu saman-saman yang ada pada semua pemandu lori dibatalkan. Bagi mereka peluang dan lesen-lesen dihidupkan dan apa juga bayaran, mereka boleh bayar bukan sekali gus tapi secara ansuran,” katanya.
Ditanya sekiranya tuntutan yang dibuat itu tidak mendapat maklum balas seperti yang dikehendaki, beliau memberi amaran perhimpunan lebih besar akan dibuat selepas ini.
“Kalau tidak layan (tuntutan memorandum) ada lagi (perhimpunan) 2.0. Mereka yang ajar kita tapi kita ada adab, tidak gulingkan kereta polis, tidak rosakkan harta kerajaan tapi kita ada cara betul,” katanya.
Perhimpunan kira-kira sejam itu berlangsung secara aman dan dikawal ketat pasukan keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Ringkasan AI
- Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Malaysia dan Persatuan Pemandu-Pemandu Lori Malaysia menuntut jawapan dari Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengenai 26 perkara dalam tempoh 48 jam
- Memorandum mengkritik undang-undang yang diterapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan kerana menekan pengusaha dan pemandu lori
- Tuntutan utama termasuk kajian semula atas mata demerit, saman, had masa operasi, penyelarasan had berat dan ketinggian muatan, serta pengurangan saman
- Datuk Dr Kalai Vanar menegaskan perhimpunan ini bukan ancaman tetapi cara untuk memberikan memorandum
- Ancaman akan mengadakan perhimpunan lebih besar jika tuntutan tidak ditangani, sementara perhimpunan pertama berjalan secara aman dan terkawal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

