Permohonan Najib periksa aset disita didengar 29 April

Najib -Foto Bernama
Najib -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menjadualkan semula tarikh untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memeriksa secara fizikal barang-barang yang dirampas oleh polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd disebabkan penutupan mahkamah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada prosiding lepas, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 25 Mac untuk mendengar permohonan Najib.

Peguam Najib Nur Fazreen Hazrina Rahim ketika dihubungi mengesahkan bahawa pendengaran ditangguhkan dan mahkamah menjadualkan semula tarikhnya kepada 29 April.

“Kami menerima e-mel dari mahkamah yang memberitahu bahawa tarikh pendengaran ditetapkan pada 29 April,” katanya.

Aset yang dirampas oleh polis pada 2018 dan 2019 yang bernilai RM680 juta didakwa mempunyai kaitan dengan salah urus dana kekayaan berdaulat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Aset yang dirampas termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 barang hiasan jam tangan 234 pasang kaca mata, 306 beg tangan, dan wang tunai bernilai RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Sebahagian besar barangan mewah yang disita polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki Obyu Holdings selain sebuah lagi hartanah di Kuala Lumpur yang juga disita pada 1 November 2018.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta Obyu Holdings mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Najib, Rosmah dan firma barang kemas, Global Royalty selaku pihak ketiga memohon untuk mendapatkan gambar serta membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta-harta itu. - Bernama