Covid-19: Tiada bazar Ramadan di Terengganu

DR ALIAS
DR ALIAS
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hari ini mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) secara total.

Pembatalan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, arahan itu dimaklumkan kepada semua PBT berasaskan kepada klasifikasi bazar Ramadan tidak termasuk kategori 'essential services' atau perkhidmatan asas.

“Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 14 April depan, iaitu 10 hari sebelum awal Ramadan dan mengambil kira suasana tidak menentu ketika ini, kerajaan negeri telah mengkaji kesesuaian pelaksanaan bazar Ramadan tahun ini.

“Ini disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar dan akan memberi kesan kepada kebarangkalian untuk berlaku penularan semula virus Covid-19 sekali gus merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak ini sepenuhnya.

“Kerajaan negeri telah pun memperhalusi perkara ini dengan sebaiknya dan pembatalan ini dibuat setelah mengambil kira kemaslahatan kesihatan serta nyawa semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Alias turut menyarankan kepada peniaga bazar Ramadan membuat persediaan ekoran pembatalan itu dengan mempertimbangkan alternatif jualan lain seperti mengusahakan pemasaran perniagaan secara dalam talian.

Beliau berkata, peniaga juga boleh melakukan perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan, menggunakan platform seperti GrabFood, Foodpanda atau cara lain yang difikirkan sesuai.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas komitmen tinggi rakyat negeri ini yang berjaya melepasi paras 95 peratus kepatuhan kepada PKP diisytiharkan oleh kerajaan Persekutuan sejak 18 Mac lalu dan berharap komitmen rakyat ini akan berterusan hingga ke akhirnya.

“Semoga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuhi ujian ini. Marilah sama-sama kita berdoa agar negeri serta negara kita pulih sepenuhnya daripada virus Covid-19 ini,” katanya.