MBS lapor pihak berkuasa isu penganjuran bazar Aidilfitri

Tangkap layar mengenai tuduhan terhadap MBS.
Tangkap layar mengenai tuduhan terhadap MBS.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung tohmahan dilemparkan terhadap agensi itu mengenai penganjuran bazar Aidilfitri di Dataran Senawang.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri berkata, pihaknya telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"MBS telah menerima tuduhan daripada pihak tidak bertanggungjawab melalui media sosial mengenai kes rasuah di tapak penjaja, Dataran Senawang 1, 2 dan 3 serta tindakan kompaun ke atas peniaga di bazar Ramadan.

"Untuk makluman, MBS telah menawarkan sebanyak 248 tapak penjaja kepada penganjur yang berjaya dipilih melalui sesi pembentangan yang dihadiri oleh calon-calon penganjur, terdiri dari Ahli Majlis, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), serta pihak pengurusan tertinggi yang dipengerusikan oleh Setiausaha MBS, "katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, pertambahan sebanyak 104 penjaja adalah kerana terdapat kerja-kerja pengukuran semula ruang niaga yang ditawarkan.

Ujarnya, pengisian penuh berkenaan diadakan kerana tiada lagi sekatan syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"MBS juga telah menerima aduan mengenai kelewatan dalam mengeluarkan permit perniagaan sehingga penghujung Ramadan.

"Ini adalah kerana pemohon telah mengemukakan permohonan lewat daripada tarikh sebenar namun MBS tidak mengambil tindakan kompaun terhadap peniaga tersebut sehingga permit dikeluarkan," katanya.