Tiga ditahan, 13 motosikal disita dalam operasi samseng jalanan

JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga individu dan menyita 13 motosikal dalam operasi samseng jalanan di Lebuhraya Nusajaya, Lebuhraya Link Kedua (arah ke Tuas) dan sekitar Kangkar Pulai pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, individu berusia 18 hingga 20 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala kesemua motosikal terbabit disita di bawah Seksyen 64 akta sama.
Menurutnya, sebanyak 24 saman juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kerana tidak mematuhi spesifikasi kenderaan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk ubah suai kenderaan (ekzos), nombor pendaftaran ‘fancy’ dan tidak mengikut peraturan, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada perlindungan insurans dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kumarasan berkata, tindakan tersebut dibuat hasil risikan dijalankan sehingga berjaya menahan 20 motosikal dan 20 indvidu berusia lingkungan umur 15 hingga 18 tahun untuk diperiksa.
“Operasi dijalankan kerana lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan kumpulan motosikal untuk melakukan kegiatan aksi berbahaya termasuk lumba haram,” tambahnya.
Dalam pada itu Kumarasan turut memberikan amaran keras dan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan aktiviti samseng jalanan di daerah ini sehingga mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
