PM arah ganti segera titi gantung runtuh di Kuala Krai

Suasana meriah kenduri perkahwinan bertukar cemas apabila sebuah titi gantung runtuh menyebabkan lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai pada Khamis. Foto penduduk
Suasana meriah kenduri perkahwinan bertukar cemas apabila sebuah titi gantung runtuh menyebabkan lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai pada Khamis. Foto penduduk
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penggantian segera titi gantung yang runtuh di Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai demi keselamatan dan kemudahan rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, arahan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan jambatan berkenaan telah dikeluarkan.

"Perdana Menteri memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai semalam yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam dan menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut serta Kampung Batu Pagar.

"Kerja-kerja penggantian jambatan ini akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan, menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, lebih 50 tetamu yang menghadiri kenduri perkahwinan terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah titi gantung runtuh secara tiba-tiba.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu telah menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh di atas batu, manakala kanak-kanak cedera di bahagian kepala selain tiga lagi alami luka ringan dan sesak nafas.

Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari berkata, kejadian tersebut dikatakan berlaku apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu pengantin wanita di atas titi gantung berkenaan.

Tambah kenyataan itu, Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

"Khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penggantian segera titi gantung yang runtuh di Kuala Krai
  • Peruntukan telah dikeluarkan untuk projek penggantian jambatan tersebut
  • Inciden runtuhan menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan menjejaskan akses harian penduduk tempatan
  • Kerja penggantian akan dilakukan oleh ICU Jabatan Perdana Menteri bersama agensi berkaitan
  • Lebih 50 tetamu kenduri perkahwinan terjatuh ke dalam sungai menyebabkan beberapa kecederaan termasuk patah kaki dan luka di kepala

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!