Titi runtuh Lata Rek: Pengantin mohon maaf

Tetamu yang jatuh ke sungai selepas titi runtuh.
Tetamu yang jatuh ke sungai selepas titi runtuh.
A
A
A

KUALA KRAI – Pasangan pengantin dari Kampung Chatel Damai, Lata Rek di sini tampil memohon maaf kepada semua tetamu selepas kenduri kahwin mereka bertukar kecoh selepas titi gantung runtuh.

Pengantin perempuan, Wan Jamilah Wan Syukri, 28, berkata, dia dan suaminya, Mohd Faris Haikal Zulkifli, 26, berasa amat sedih serta simpati terhadap tetamu yang datang untuk memeriahkan majlis perkahwinan mereka, namun berakhir dengan insiden itu.

"Tetamu ada yang datang dari jauh, kami benar-benar sedih sebab ramai terjatuh dan cedera.

Wan Jamilah (kanan) dan Mohd Faris Haikal (kiri) bergambar kenangan majlis perkahwinan mereka.
Wan Jamilah (kanan) dan Mohd Faris Haikal (kiri) bergambar kenangan majlis perkahwinan mereka.

“Dari pihak kami, saya mohon maaf atas kejadian ini dan segala kekurangan yang berlaku,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Dalam kejadian jam 2 petang pada Khamis lalu, lebih 50 tetamu jatuh sungai menyebabkan seorang lelaki patah kaki terkena batu, manakala kanak-kanak cedera di bahagian kepala selain tiga lagi alami luka ringan dan sesak nafas.

Wan Jamilah juga pekerja kilang di Shah Alam berkata, sebelum runtuhan itu, rombongan pengantin lelaki tiba dari Kok Lanas, Kota Bharu dan selesai menyeberangi titi kayu terbabit.

“Mereka dah pun selamat sampai ke seberang sebelum kira-kira 10 minit kemudian, titi tersebut runtuh.

Artikel Berkaitan:

“Ramai yang jatuh ke sungai adalah tetamu sebelah pengantin perempuan dan penduduk kampung ini,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu amat mengejutkan kerana sebelum ini titi terbabit turut dilalui ramai orang bagi beberapa majlis kenduri lain di kawasan kampung sama tanpa sebarang insiden.

“Sebelum ini, jiran-jiran buat kenduri, ada juga rombongan pengantin lain lalu jambatan itu, tak runtuh.

“Masa saya bertunang Jun tahun lepas pun, lebih 100 orang rombongan lelaki lalu, elok saja tapi kami tetap reda dan terima ujian titi runtuh waktu majlis kami berlangsung,” katanya.

Tambah Wan Jamilah, suaminya bersama rombongan pengantin lelaki menyeberang dengan bantuan lampu solar melalui titi tersebut pada malam akad nikah, sehari sebelum kejadian.

Dia juga mengakui terkilan mengenangkan keadaan tetamu yang hadir dalam persalinan cantik tetapi terpaksa meredah air sungai untuk pulang.

“Tetamu datang cantik-cantik, nak balik semua basah kuyup sebab kena harung sungai,” katanya.

Sejurus kejadian itu, menurut wanita itu, penduduk kampung dan ahli keluarga bertindak pantas membantu tetamu dengan menggunakan lima kenderaan pacuan empat roda serta lori bagi mengangkut mereka menyeberangi sungai.

Lebih menyentuh perasaan katanya, ahli keluarga dan penduduk pakat bergotong-royong mengusung lauk-pauk serta nasi kenduri di dalam periuk besar menyeberangi sungai bagi memastikan tetamu tetap dapat dijamu.

“Kami pinjam meja surau, letak nasi dan lauk-pauk di tepi sungai seberang untuk tetamu terus makan,” katanya.

Wan Jamilah berkata, kejadian itu meninggalkan kenangan buat dia dan suami serta tetap bersyukur kerana insiden menjadi asbab pembinaan jambatan baharu untuk kemudahan penduduk.

“Kalau dapat jambatan baharu nanti, bolehlah cerita pada bakal anak-anak kami.

“Titi lama runtuh dan jambatan baharu ni dapat masa ibu dan ayah nikah dulu,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pasangan pengantin dari Kampung Chatel Damai memohon maaf selepas titian gantung runtuh ketika kenduri kahwin mereka
  • Lebih 50 tetamu jatuh ke sungai menyebabkan kecederaan termasuk patah kaki dan luka di kepala
  • Titian tersebut sebelum ini telah digunakan tanpa insiden pada banyak majlis lain di kawasan tersebut
  • Penduduk kampung dan keluarga bertindak membantu tetamu yang terjejas dengan menyediakan pengangkutan dan makanan
  • Kejadian ini diharap akan membawa kepada pembinaan jambatan baharu untuk kemudahan penduduk setempat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!