X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi Sanitasi tumpu Bandar Simpang Renggam, Kampung Sinaran Baru

Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja nyahcemar di tiga pasaraya di Simpang Renggam dekat Kluang. - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Bandar Simpang Renggam dekat Kluang dan Kampung Sinaran Baru, Kempas di sini, akan diberi tumpuan dalam Operasi Sanitasi Covid-19 di negeri ini bermula esok, bagi membantu mengurangkan penularan wabak itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, bandar Simpang Renggam dipilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Dato’ Ibrahim Majid, yang merupakan kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala terdapat beberapa kes positif di Kampung Sinaran Baru, Kempas.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor akan menjadi agensi penyelaras bagi Operasi Sanitasi Awam Covid-19 Negeri Johor manakala kerja-kerja penyemburan akan dilakukan SWCorp,” katanya menerusi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes di Simpang Renggam dipercayai berkait kluster tabligh Sri Petaling

Ayub berkata, turut terbabit dalam operasi itu adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Pejabat Kesihatan Daerah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, selepas pelaksanaan operasi sanitasi di dua kawasan tumpuan berkenaan, semua daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan melaksanakannya.

Katanya, operasi itu akan diadakan sehingga pandemik Covid-19 berakhir sepenuhnya di seluruh negeri. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus