Permintaan melonjak, LRA Kogopon tidak mampu tampung bekalan

Sebahagian penduduk semasa sidang media berkaitan isu gangguan bekalan air di Kinarut, Papar.
Sebahagian penduduk semasa sidang media berkaitan isu gangguan bekalan air di Kinarut, Papar.
A
A
A

PAPAR - Permintaan bekalan air yang meningkat mendadak sempena perayaan Krismas dan cuti sekolah, ditambah dengan masalah kekeruhan air sungai menyebabkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Papar tidak dapat membekalkan air secukupnya kepada penduduk baru-baru ini.

Pegawai Jurutera JANS Papar, Afiq Abqari Nain menjelaskan, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon ketika ini beroperasi pada kapasiti maksimum iaitu sekitar 40 juta liter sehari, sekali gus menyukarkan pihaknya menampung keperluan semasa khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Kinarut.

"Permintaan air meningkat dengan ketara ketika musim perayaan dan cuti sekolah yang berlangsung serentak. Dalam masa sama, kapasiti LRA Kogopon sudah berada pada tahap maksimum yang hanya mampu membekalkan 40 juta liter sehari," katanya pada sidang media bersama penduduk terjejas di Kinarut pada Ahad.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan wakil penduduk, Herbert Lye.

Afiq Abqari berkata, keadaan menjadi lebih kritikal apabila berlaku gangguan luar jangka seperti kekeruhan air sungai melebihi 1,000 NTU (unit kekeruhan nephelometric), yang memaksa pengeluaran air dikurangkan kepada bawah 30 juta liter sehari bagi menjamin keselamatan bekalan air terawat.

Beliau menjelaskan, kawasan yang menerima bekalan melalui Tangki P3 Kawang melibatkan banyak kawasan berintensiti tinggi dan bangunan bertingkat seperti rumah pangsa, kondominium serta taman perumahan selain beberapa kampung sekitar.

"Puncak Gloxinia sahaja mempunyai kira-kira 1,200 unit rumah, Taman Gloxinia lebih 400 unit, rumah pangsa sekitar 600 unit dan Taman Limauan hampir 900 unit. Ini belum termasuk kawasan kampung seperti Kawang dan sebagainya.

"Semua kawasan tersebut hanya bergantung kepada satu sumber bekalan iaitu LRA Kogopon, dan sebarang gangguan di loji atau sungai akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran air. Jika sungai keruh, rawatan terpaksa dihentikan serta-merta kerana sistem mengambil air terus dari Sungai Kogopon," katanya.

Beliau turut menjelaskan isu tekanan air yang tidak sekata menyebabkan sesetengah kawasan menerima bekalan manakala kawasan bersebelahan tidak, bergantung kepada faktor kedudukan, penggunaan pam dan masa pemulihan tekanan.

Artikel Berkaitan:

"Air tidak seperti elektrik. Tekanan memerlukan masa untuk pulih dan kawasan di kedudukan lebih tinggi akan menerima air lebih lewat," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kawasan terjejas telah dimasukkan dalam jadual catuan bulanan, namun mengakui situasi penghujung tahun ini lebih mencabar susulan permintaan luar biasa.

Menjawab kebimbangan penduduk menjelang pembukaan sesi persekolahan awal tahun ini, beliau memberi jaminan JANS sedang berusaha menstabilkan bekalan dan memantau kawasan terjejas secara berjadual.

"Bagi kawasan di bawah P3 Kawang, bekalan akan disalurkan mengikut jadual catuan dan penghantaran air menggunakan lori tangki akan diusahakan sekiranya perlu," katanya.

Beliau turut menghargai kerjasama Pejabat Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut menggerakkan lori tangki bagi membantu menghantar air kepada penduduk yang terjejas sementara menunggu projek LRA Kogopon Fasa 2 disiapkan.

Ringkasan AI

  • Permintaan bekalan air meningkat mendadak sempena Krismas dan cuti sekolah menyebabkan kekurangan air di Papar, Sabah
  • Loji Rawatan Air Kogopon beroperasi maksimum 40 juta liter sehari namun tidak mencukupi terutama di kawasan berpenduduk padat
  • Kekeruhan air sungai melebihi 1,000 NTU mengurangkan pengeluaran air ke bawah 30 juta liter sehari untuk keselamatan bekalan
  • JANS berusaha menstabilkan bekalan dengan catuan bulanan dan penghantaran air melalui lori tangki bagi kawasan terjejas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!