Dua wanita warga asing ugut tetak jiran ditahan

TAWAU - Tindakan dua wanita warga asing melakukan ugutan jenayah mahu menetak seorang individu lain membawa padah apabila ditahan polis di kawasan Bandar Sabindo, di sini pada Sabtu.
Suspek masing-masing berusia 20-an itu didakwa melakukan ugutan terhadap seorang wanita tempatan dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di kawasan Kampung Kurnia, Batu 4 Jalan Apas, di sini dua bulan lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, mangsa berusia 25 tahun membuat laporan polis mendakwa bahawa dia telah menerima ugutan daripada suspek yang juga jiran yang dikenalinya.
"Semasa insiden itu, kedua-dua suspek dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan iaitu mahu menetak mangsa.
"Kejadian tersebut berpunca apabila suspek memburuk-burukkan nama pengadu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Champin berkata, susulan laporan tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau menahan kedua-dua suspek tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan polis mengambil serius sebarang bentuk ugutan terhadap individu," katanya.
Ringkasan AI
- Dua wanita warga asing ditahan kerana ugut nak menetak orang lain di Tawau
- Ugutan dilakukan terhadap wanita tempatan di depan kedai di Kampung Kurnia
- Mangsa, berusia 25 tahun, membuat laporan polis mendakwa diancam oleh jiran
- Insiden berpunca dari suspek yang memburuk-burukkan nama mangsa
- Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, polis mengambil serius isu ugutan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
