Air Selangor sedia 62 air balang percuma semarak merdeka

KUALA LUMPUR - Sebanyak 62 jenis air balang berwarna-warni disediakan secara percuma untuk dinikmati ribuan rakyat Malaysia sempena ulang tahun keenam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Sambutan yang berlangsung di TRX di sini pada Sabtu itu diadakan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui acara ikonik Keretapi Sarong 2025 iaitu perarakan tahunan yang menghimpunkan ribuan peserta berpakaian tradisional menaiki pengangkutan awam bagi meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, setiap balang air yang disajikan kepada pengunjung bukan sekadar pelepas dahaga, sebaliknya membawa simbolik perpaduan rakyat negara ini yang hidup harmoni.

“Lebih daripada itu, ia menzahirkan kepentingan air dalam kehidupan seharian dan tanggungjawab bersama kita untuk menjaganya demi generasi akan datang,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Menurut Adam, kempen itu mengetengahkan konsep penyediaan 62 jenis air minuman tempatan yang unik sebagai simbolik kepada 62 tahun sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
“Minuman yang disediakan ini diilhamkan daripada kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia sekali gus mencerminkan kekayaan tradisi, semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap air sebagai sumber kehidupan yang menyatukan rakyat,” jelas beliau.
Adam menjelaskan, reruai Air Selangor turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran pendidikan mengenai proses rawatan air, kuiz interaktif tentang kesedaran kelestarian serta permainan santai untuk seisi keluarga.
Ujarnya, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai aplikasi Air Selangor 2.0 yang memudahkan pengguna melaporkan kebocoran dan memantau penggunaan air harian.
“Tarikan utama di reruai ini juga termasuklah cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal Vespa eksklusif kepada seorang pengunjung bertuah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penglibatan Air Selangor dalam acara itu membuktikan syarikat bukan sekadar penyedia perkhidmatan air kepada lebih 9.62 juta pengguna, malah berperanan mendidik masyarakat mengenai pentingnya menghargai sumber air.
“Melalui kempen ini, kami mengangkat semangat patriotik dan budaya Malaysia sambil menekankan peranan penting air dalam kehidupan seharian,” tambahnya.
Katanya, kempen yang dilancarkan pada 23 Ogos lalu itu kini mencapai kemuncaknya pada Sabtu serentak dengan acara Keretapi Sarong 2025.
“Air Selangor turut menyumbang lebih 15,000 liter air terawat melalui lori tangki dan tangki statik di lokasi acara yang akan diumumkan kelak,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

