Kenyataan Ketua Pemuda UMNO hanya emosional- AMK

Danish
Danish
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan desakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh agar parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan kononnya melanggar garis merah Melayu dan Islam sebagai emosional dan bermain dengan persepsi.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, kenyataan itu dilihat umpama memperlekehkan kefahaman Perlembagaan Persekutuan selain menjadikan isu agama dan bangsa sebagai modal politik murahan.

"Sehingga hari ini, tiada satu pun pindaan perlembagaan, dasar kerajaan atau keputusan Parlimen yang menghakis kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan atau menafikan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

"Islam kekal sebagai agama Persekutuan, Mahkamah Syariah terus berfungsi, institusi Raja-Raja Melayu tidak disentuh, dan dasar-dasar berkaitan Bumiputera terus dilaksanakan.

"Maka persoalannya, di bahagian mana sebenarnya Perlembagaan ini telah dicabul? atau istilah garis merah itu kini sekadar slogan kosong yang diulang-ulang untuk kepentingan individu tertentu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa orang Melayu ditindas sambil menegaskan bahawa isu sebenar yang membelenggu masyarakat ialah golongan rentan yang berdepan cabaran ekonomi.

"Lebih memualkan, Dr Akmal bercakap seolah-olah beliau juara pembela Melayu yang tertindas.

"Adakah yang dimaksudkan itu ialah Datuk Seri Najib Razak, seorang bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah melalui proses perundangan yang sah.

"Jika inilah definisi Melayu dan Islam yang tertindas versi Dr Akmal, maka jelas perjuangan beliau bukan soal keadilan atau maruah bangsa tetapi usaha terdesak mempertahankan elit politik," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Danish, tuduhan yang dikeluarkan tanpa sebarang bukti konkrit hanyalah cubaan menanam kebencian dan ketakutan dalam kalangan rakyat

"Jika benar beliau ikhlas mahu membela Islam dan Melayu maka berhentilah menjadikan agama dan bangsa sebagai topeng untuk mempertahankan individu tertentu.

"Rakyat Malaysia hari ini lebih cerdas mereka tahu membezakan antara pembelaan prinsip dan sandiwara politik," katanya.

Beliau turut menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu agar kembali kepada asas sebenar penubuhan Kerajaan Perpaduan, iaitu semangat kebersamaan, kestabilan negara dan politik berteraskan penyelesaian masalah rakyat.

"Negara ini tidak akan bergerak kehadapan jika sentimen agama dan bangsa terus dijadikan senjata politik setiap kali ada kegagalan atau kepentingan peribadi yang mahu dilindungi.

"AMK kekal komited mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan serta menolak sekeras-kerasnya politik perkauman sempit yang akhirnya merugikan rakyat dan masa depan negara," katanya.

Ringkasan AI

  • AMK mengecam desakan Ketua Pemuda UMNO untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sebagai emosional dan bermain dengan persepsi
  • Kenyataan tersebut dilihat sebagai memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan dan menggunakan agama dan bangsa sebagai modal politik murahan
  • Islam dan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera secara tidak berubah kekal terpelihara dalam Perlembagaan
  • Desakan berdasarkan dakwaan tanpa bukti dilihat sebagai usaha menanam kebencian dan ketakutan semata-mata
  • AMK menggesa kembali kepada semangat asas Kerajaan Perpaduan yang menekankan kebersamaan dan penyelesaian masalah rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!