Kepimpinan Bersatu Subang letak jawatan, bahagian dibubar serta merta

SHAH ALAM - Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Subang mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif berkuat kuasa serta-merta, sekali gus membubarkan jawatankuasa bahagian serta seluruh cawangan di bawah seliaannya.
Keputusan itu diumumkan dalam satu kenyataan media pada Sabtu yang memaklumkan tindakan berkenaan diambil atas prinsip perjuangan yang didakwa tidak lagi selari dengan mandat serta aspirasi ahli di peringkat akar umbi.
Menurut kenyataan tersebut, masa depan sesebuah wadah perjuangan politik tidak seharusnya bersandarkan kepada kelangsungan kelompok kecil, sebaliknya perlu berpaksikan mandat rakyat dan suara akar umbi sebagai nadi kekuatan parti.
"Keputusan kolektif ini diambil dengan berat hati namun penuh tanggungjawab.
"Kami mendapati hala tuju serta keputusan yang diambil pimpinan tertinggi kini tidak lagi selari dengan mandat serta aspirasi ahli di peringkat akar umbi," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa apabila visi perjuangan asal mula terhakis, integriti menuntut mereka untuk mengundur diri secara terhormat.
Sehubungan itu, barisan kepimpinan bahagian berkenaan turut mengumumkan pembubaran Jawatankuasa Bersatu Bahagian Subang serta pembubaran seluruh jawatankuasa di peringkat cawangan berkuat kuasa serta-merta.
Antara pimpinan yang meletakkan jawatan ialah Ketua Bahagian, Asyraf Halim; Timbalan Ketua Bahagian, Mohd Shahril Hashim; Naib Ketua Bahagian, Iskandar Al Quyyum; Timbalan Pengerusi Tetap, Azhari Yusof; Setiausaha, Wan Ahmad Shukrie dan Bendahari, Adleezan Pakhalan.
Turut berundur ialah Ketua Penerangan, Muhammad ‘Afifurrahman; Ketua ARMADA, Mohamed Rizwan; Ketua Sayap Bersekutu, Wong Yong Kang serta beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk Mohd Hafiz Md Azuz, Mohd Shafiq, Na’el Baredhwan, Muhamad Zalimi, Zuraime Sarpin dan Syafiq Mohd Zin.
Dalam kenyataan sama, mereka merakamkan penghargaan atas peluang serta kerjasama sepanjang tempoh berkhidmat dalam parti berkenaan.
Bersempena ketibaan Ramadan, mereka turut mendoakan agar bulan penuh keberkatan itu membawa kebaikan kepada semua dalam meneruskan khidmat kepada agama, bangsa dan negara.
Ringkasan AI
- Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Subang mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif serta pembubaran jawatankuasa bahagian dan seluruh cawangan
- Peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta diumumkan melalui kenyataan media pada Sabtu
- Keputusan dibuat kerana prinsip perjuangan tidak selari dengan mandat dan aspirasi ahli akar umbi
- Kepimpinan termasuk Ketua Bahagian dan lain-lain pemimpin utama turut meletakkan jawatan
- Mereka mengucapkan terima kasih atas peluang berkhidmat dan mendoakan kebaikan di bulan Ramadan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

