'Kita buat kasi jadi' - Afnan Hamimi sambut hasrat Akmal Saleh

Laporan Sinar Harian pada 3 Januari 2026.
Laporan Sinar Harian pada 3 Januari 2026.
A
A
A

SHAH ALAM - “Tahniah sahabat! Kita buat kasi jadi!” demikian reaksi Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyatakan persetujuan terhadap hasrat kepimpinan Pemuda UMNO agar agenda penyatuan dapat direalisasikan secara bersama.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar turut bersetuju bahawa penyatuan penting dan merupakan asas kekuatan orang Melayu.

"Umat ini akan kuat jika tidak berpecah. Politik mesti menyatukan, bukan memecahkan. Agenda penyatuan mengatasi agenda peribadi.

"Semoga ada cahaya yang bersinar," katanya menerusi satu hantaran Facebook pada Sabtu.

Hantaran terbabit dibuat selepas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menyuarakan keinginan agar UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.

Muhamad Akmal menyuarakan pandangan itu ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.

Ujarnya, penyatuan itu penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu terus terpelihara dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.

Justeru, Afnan Hamimi berterima kasih dengan pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau terbabit, sekali gus menyatakan kesediaan bekerjasama demi merealisasikan matlamat penyatuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyatakan persetujuan terhadap agenda penyatuan dengan Pemuda UMNO
  • Afnan Hamimi menganggap penyatuan penting sebagai kekuatan orang Melayu
  • Muhamad Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO, menyeru agar UMNO dan Pas bersatu demi orang Melayu
  • Penyatuan dianggap penting untuk memelihara kekuatan politik Melayu dalam landskap politik yang mencabar
  • Afnan Hamimi bersedia bekerjasama demi merealisasikan matlamat penyatuan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!