Pulau Pinang laksana Perintah Khidmat Masyarakat bermula 1 Julai 2026

Pulau Pinang bersetuju untuk menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah membuang sampah kecil di tempat awam bermula 1 Julai 2026. Gambar hiasan
Pulau Pinang bersetuju untuk menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah membuang sampah kecil di tempat awam bermula 1 Julai 2026. Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pulau Pinang bersetuju untuk menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah membuang sampah kecil di tempat awam bermula 1 Julai 2026, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye.

Beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 17 Disember meluluskan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan perintah itu mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan (pindaan) 2025 (Akta A1773).

"Perintah ini dilaksanakan KPKT pada peringkat Persekutuan bermula semalam mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tetapi Pulau Pinang masih belum menerima pakai akta itu sebaliknya hanya melaksanakan pindaan di bawah Akta A1173.

"Mesyuarat juga bersetuju memberikan tempoh enam bulan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membuat persiapan sebelum pelaksanaan penuh bermula 1 Julai," katanya.

H’ng berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBSP yang disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Menara MBSP, di sini pada Jumaat serta turut dihadiri Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Beliau berkata, tiada tindakan penguatkuasaan diambil sepanjang tempoh itu dengan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut diarah menubuhkan pasukan petugas untuk membuat persiapan rapi bagi merangka mekanisme pelaksanaan termasuk aspek pendidikan dan kaedah pengeluaran saman sebelum penguatkuasaan penuh.

Mooi Lye berharap dua PBT itu menerusi jabatan berkaitan dapat berbincang bersama-sama ahli majlis yang baharu dilantik bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar memandangkan ia merupakan dasar Persekutuan.

Pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat berkuat kuasa semalam di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.

KPKT dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan penguatkuasaan perintah itu sebagai tambahan kepada hukuman denda sedia, bagaimanapun hanya boleh diperintahkan kepada pesalah selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Pesalah yang disabitkan dengan hukuman itu perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan seperti mengutip sisa pepejal, mencuci, memotong rumput dan membersihkan sarang labah-labah.

Terdahulu, sebanyak 23 Ahli Majlis MBSP mengangkat sumpah menerima jawatan bagi tempoh setahun bermula 1 Januari 2026 manakala seorang lagi dijadualkan berbuat demikian pada 6 Januari. - Bernama

Ringkasan AI

  • Pulau Pinang bersetuju untuk menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah membuang sampah bermula 1 Julai 2026
  • Cadangan ini diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Pulau Pinang pada 17 Dis
  • Pelaksanaan perintah ini dilaksanakan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan (pindaan) 2025
  • Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang diberi tempoh enam bulan untuk membuat persiapan sebelum pelaksanaan penuh
  • Pesalah yang disabitkan hukuman ini perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!