Lelaki bunuh isteri kerana cemburu - Ketua Polis Pulau Pinang

Polis mengangkat mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di kediaman mereka di tingkat dua sebuah pangsapuri di Seberang Jaya.
Polis mengangkat mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di kediaman mereka di tingkat dua sebuah pangsapuri di Seberang Jaya.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis percaya lelaki yang mengaku membunuh isterinya beberapa hari lepas di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna Seberang Jaya di sini, sebelum menyerah diri ke balai polis pada Khamis bertindak sedemikian kerana cemburu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, namun pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci terhadap lelaki berusia 28 tahun itu.

"Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak membunuh isterinya kerana cemburu tapi kami sedang jalankan siasatan lanjut kerana tindakannya yang sanggup tinggal bersama isterinya beberapa hari selepas wanita itu mati menimbulkan tanda tanya.

"Ujian air kencing ke atas lelaki itu juga negatif dadah dan polis kini sedang melengkapkan siasatan kes itu untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata, polis percaya dengan penahanan lelaki yang tidak bekerja itu berjaya menyelesaikan kes berkenaan dan suspek kini direman sehingga 18 Dis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, sepasukan polis telah ke lokasi dan mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring, lengkap berpakaian di atas tilam di dalam sebuah bilik tidur dipercayai meninggal dunia beberapa hari lepas selepas menerima maklumat daripada seorang lelaki pada Khamis yang mengaku membunuh isterinya di rumah mereka.

Jenazah wanita itu, Allahyarham Wan Khairul Safinah, 44, telah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Suka Menanti, Alor Setar selepas solat Asar semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis percaya lelaki membunuh isteri kerana cemburu di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna Seberang Jaya
  • Ketua Polis Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap lelaki berusia 28 tahun itu
  • Siasatan awal mendapati suspek cemburu, namun tindakannya tinggal dengan jenazah isteri beberapa hari menimbulkan tanda tanya
  • Ujian air kencing suspek negatif dadah, polis melengkapkan siasatan untuk tindakan seterusnya
  • Jenazah Wan Khairul Safinah, 44, dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Suka Menanti, Alor Setar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!