[VIDEO] 'Zikir di tanah kubur boleh diwarta sesat jika menyalahi ajaran Islam' - Mohd Arifin

A
A
A

PUTATAN - Perbuatan sekumpulan individu yang melakukan aktiviti seperti berzikir di kawasan tanah perkuburan pada tengah malam di Sandakan, yang tular di media sosial baru-baru ini, boleh diwartakan sebagai ajaran sesat sekiranya didapati menyalahi ajaran Islam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, siasatan berhubung tindakan kumpulan individu terbabit sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), dan mereka yang terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Mohd Arifin ketika menyiram air mawar di makam Tun Mustapha di Taman Memorial Tun Datuk Mustapha di Putatan pada Jumaat.
Mohd Arifin ketika menyiram air mawar di makam Tun Mustapha di Taman Memorial Tun Datuk Mustapha di Putatan pada Jumaat.

“Setakat ini, kita sudah pun memanggil lebih lima individu. Insya-ALLAH, pada minggu ini saya akan dapatkan maklumat berkenaan kerana ini adalah satu perkara yang perlu kita cegah. Sekiranya siasatan tersebut selesai, saya akan bawa perkara ini ke Pejabat Mufti Kerajaan Sabah untuk penelitian lanjut.

“Sekiranya ia didapati sebagai ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam, kita akan bawa ke Jawatankuasa Fatwa, mungkin boleh dibincangkan di sana dan juga boleh diwartakan sebagai ajaran salah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Haul ke-31 Tahun Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun yang turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih di Taman Memorial Tun Datuk Mustapha di sini pada Jumaat.

Mohd Arifin berkata, walaupun tiada kejadian serupa dilaporkan berlaku di daerah lain, namun aktiviti seumpama itu sentiasa dipantau rapi oleh pasukan penguat kuasa termasuk JHEAINS dan pihak polis.

“Setakat ini, kita tidak menerima laporan lain berhubung kejadian tersebut. Namun, kita sebelum ini telah mewartakan lebih 10 ajaran salah.

Artikel Berkaitan:

“Kesalahan ini boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Seksyen 51(1)(2) berhubung ajaran salah yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali,” jelasnya.

Sebelum itu, satu video berdurasi 23 saat memaparkan beberapa lelaki melakukan perbuatan seperti berzikir di kawasan tanah perkuburan di Kampung Lupas Meluas, Batu Sapi, Sandakan, pada tengah malam 28 Disember lalu tular di media sosial.

Aktiviti mencurigakan itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadiri, Mohd Arifin berkata, majlis tahlil dan bacaan Yasin tersebut telah menjadi program tahunan kerajaan negeri sejak dua tahun lalu, dan kawasan itu juga telah diselenggara serta kemudahannya dinaik taraf.

“Majlis ini bertujuan memperingati tokoh pendakwah unggul yang memperkasakan pendidikan di negeri Sabah dan mencetuskan penubuhan Yayasan Sabah.

“Tahun lalu, kita telah menaik taraf kemudahan di makam ini dengan membina bumbung bagi 131 anak tangga demi keselesaan pengunjung. Insya-Allah, kita akan terus mencari jalan untuk menaik taraf kemudahan lain dengan berbincang bersama pihak muzium,” katanya.

Ringkasan AI

  • Perbuatan berzikir di kawasan tanah perkuburan di Sandakan pada tengah malam tular di media sosial
  • Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menjelaskan siasatan sedang dijalankan terhadap kumpulan tersebut
  • Lebih lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung aktiviti tersebut
  • Aktiviti mencurigakan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat
  • Kesalahan ajaran salah boleh didakwa dengan hukuman denda, penjara atau sebatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!