Sekumpulan lelaki berzikir di kubur tengah malam cetus kebimbangan penduduk


SANDAKAN - Tindakan beberapa individu berzikir dalam keadaan mencurigakan di kawasan perkuburan di Kampung Lupas Meluas, Batu Sapi, pada waktu tengah malam, mengundang kebimbangan penduduk setempat.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah malam Ahad lalu sebelum videonya tular di media sosial.
Seorang penduduk, Fatra Husin, 38, mengakui terkejut dengan aktiviti yang mencurigakan oleh sekumpulan lelaki tersebut.
"Ketika itu terdapat kira-kira lima lelaki sedang berzikir di kawasan tanah perkuburan sehingga mengejutkan saya dan beberapa penduduk lain," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Menurut Fatra, mereka tidak dapat memastikan dengan jelas apa yang disebut oleh individu-individu terbabit kerana keadaan yang gelap serta jarak yang agak jauh.
"Kami memang tidak pasti apa yang mereka sebut, cuma bunyi zikir itu jelas kedengaran dan membuatkan penduduk berasa hairan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kejadian sedemikian merupakan kali pertama berlaku di kawasan perkuburan berkenaan dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan bagi mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan penduduk.
Sementara itu, difahamkan pegawai JHEAINS Sandakan telah melakukan pemantauan di lokasi tersebut.
Sebelum itu, satu video berdurasi 23 saat memaparkan beberapa lelaki melakukan perbuatan seperti berzikir di sebuah kawasan tanah perkuburan di Sandakan.
Ringkasan AI
- Individu berzikir dalam keadaan mencurigakan di perkuburan Kampung Lupas Meluas pada tengah malam
- Kejadian berlaku jam 12 tengah malam Ahad lalu dan videonya tular di media sosial
- Penduduk setempat merasa terkejut dan bimbang dengan aktiviti tersebut
- Kegiatan berzikir itu merupakan kali pertama berlaku di kawasan perkuburan berkenaan
- Pihak berkuasa telah melakukan pemantauan di lokasi kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
