PAIP yakin 90 peratus masalah air selesai hujung 2026




SHAH ALAM - Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) yakin mampu mencapai 90 peratus kadar penyelesaian masalah air kawasan 'Blackspot' menjelang hujung tahun 2026 demi keselesaan rakyat sebagaimana yang dihasratkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, sehingga November lalu, kadar penyelesaian masalah air atau dipanggil sebagai kawasan 'blackspot' yang direkodkan ialah sebanyak 82 peratus.
Katanya, kawasan 'blackspot' merangkumi tempat yang mengalami masalah ketiadaan bekalan air, bekalan air bertekanan rendah, gangguan kerap dan bekalan yang tidak konsisten.
"Kita berusaha selesaikan masalah bekalan air dari dahulu sehingga ia rekodkan kadar penyelesaian sebanyak 82 peratus pada tahun ini dan insya-ALLAH kita semakin hampir ke sasaran 90 peratus menjelang akhir tahun 2026.
"Pencapaian ini dapat kita peroleh hasil 'blueprint' atau pelan tindakan yang telah dirangka selepas Menteri Besar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan PAIP turun sendiri ke lapangan untuk lihat masalah blackspot ini di setiap daerah pada 2022," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai blueprint itu, Saiful Zaini menjelaskan, menerusi pelan tindakan tersebut PAIP mengambil pendekatan menyeluruh dengan melihat punca sebenar di lapangan sama ada melibatkan paip uzur, konfigurasi rangkaian, kapasiti loji atau isu kebocoran tersembunyi.
"Berpandukan blueprint ini kita tahu apa yang kita nak buat selain kita juga sentiasa pastikan sumber kewangan kita cukup untuk menangani masalah bekalan air ini.
"Antara usaha yang dilakukan ialah pemeteraian perjanjian penstrukturan antara Pahang dengan kerajaan Persekutuan di mana melalui inisiatif ini kita dapat peruntukan atau pembiayaan kewangan daripada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB)," ujarnya.
Selain itu, menurutnya, pasukan petugas PAIP yang bekerja dengan penuh berdedikasi turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Beliau berkata, pendekatan menyeluruh yang dilakukan juga menyaksikan pengurangan aduan yang signifikan di banyak kawasan yang sebelum ini bermasalah.
"Lebih penting bekalan ini menjadi lebih konsisten, bukan sahaja cukup dari segi kuantiti tetapi juga dari segi tekanan," ulasnya.
Saiful Zaini menambah, setakat ini kira-kira RM2.6 bilion telah dibelanjakan kerajaan negeri Pahang untuk menyelesaikan masalah blackspot dan untuk melakukan pemantapan perkhidmatan sejak 2021 sepertimana yang diumumkan Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
Tegasnya, angka tidak termasuk kos penukaran paip yang memerlukan tambahan peruntukan RM450 juta.
"Jadi bayangkan kira-kira RM3 bilion diperlukan untuk selesaikan masalah air ini semenjak 2021," kata beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
