[VIDEO] Buruh warga Myanmar mengaku tidak bersalah miliki Revolver

A
A
A

BUTTERWORTH – [DIKEMAS KINI] Seorang buruh warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki senjata api di sebuah bengkel.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Tertuduh, Aung Soe, 39 tahun, didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver 0.38 tanpa nombor siri, tanpa permit atau lesen yang sah, dan senjata api tersebut diperoleh semasa melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel kontena di Lorong Perusahaan Baru, Perai pada jam 12.10 pagi, 21 Disember lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak kurang daripada 14 tahun dan dikenakan tidak kurang daripada enam sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.

Tiada jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan kerana pertuduhan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Hakim Roslan kemudiannya memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 6 Februari depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh bersama seorang lagi rakan senegaranya yang berusia 50 tahun turut berdepan tiga pertuduhan lain melibatkan kesalahan dadah, imigresen dan senjata api di Mahkamah Bukit Mertajam.

Bagaimanapun pertuduhan itu ditangguhkan sehingga 23 Februari bagi tujuan pelantikan jurubahasa.

Ringkasan AI

  • Seorang buruh warga Myanmar mengaku tidak bersalah kerana memiliki senjata api tanpa permit di Butterworth
  • Tertuduh, Aung Soe, didakwa memiliki pistol Revolver 0.38 tanpa nombor siri
  • Kes berlaku di sebuah bengkel kontena di Perai pada 21 Disember
  • Boleh dihukum penjara minimum 14 tahun dan enam sebatan
  • Tidak diberikan jaminan dan kes akan disebut semula pada 6 Februari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!