Tukang rumah mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

SUNGAI PETANI - Seorang tukang rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 2 di sini atas kesalahan merogol anak tiri dalam kejadian di sebuah lokasi penginapan di Kota Kuala Muda, April lalu.
Lelaki berusia 51 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Najwa Che Mat ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit telah merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun lapan bulan yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang 12 tengah malam pada 3 April 2025.
Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan sebatan minimum 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Banusha Jegathesan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak menganggu mangsa atau saksi pendakwaan melalui mana-mana pihak atau ejen selain melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Kes akan disebut semula pada 3 November depan bagi menunggu laporan perubatan.
Ringkasan AI
- Seorang tukang rumah di Sungai Petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas kesalahan merogol anak tiri
- Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu kepada anak tirinya yang berumur 14 tahun lapan bulan pada 3 April 2025
- Boleh dihukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan minimum 10 sebatan
- Tertuduh tidak diwakili peguam dan Timbalan Pendakwa Raya Banusha Jegathesan mengendalikan pendakwaan
- Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dan tertuduh perlu lapor diri di balai polis setiap bulan, kes disebut semula pada 3 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

