Penduduk Thailand-Kemboja takut pulang ke kampung masing-masing

'Bandar khemah' yang menjadi tempat berlindung ratusan ribu penduduk di kawasan sempadan Kemboja-Thailand. - Foto AFP
'Bandar khemah' yang menjadi tempat berlindung ratusan ribu penduduk di kawasan sempadan Kemboja-Thailand. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Kanlaya Somjettana yang berlindung di sebuah universiti di bandar Surin - dijadikan sebagai pusat penempatan sementara - masih berat hati untuk pulang ke rumahnya meskipun gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja sudah dicapai.

Menurutnya, kebanyakan penduduk senasibnya sudah kembali ke kampung halaman masing-masing pada Ahad.

“Tetapi, ramai masih ragu-ragu dan menunggu pengumuman rasmi bagi mengesahkan situasi sudah selamat. Saya berharap gencatan senjata pada kali ini akan kekal untuk tempoh yang lama,” ujarnya.

Kebanyakan keluarga yang terpaksa berpindah percaya tempoh bertenang itu tidak akan bertahan untuk tempoh yang lama. - Foto AFP
Kebanyakan keluarga yang terpaksa berpindah percaya tempoh bertenang itu tidak akan bertahan untuk tempoh yang lama. - Foto AFP

Di kawasan sempadan Kemboja, So Choeun, 35, yang sedang sarat hamil berharap dapat pulang bersama bayinya ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi menjadi medan tempur sejak lebih dua minggu lalu.

“Kami masih takut dan enggan ambil risiko. Kami akan menanti untuk tempoh beberapa hari lagi sehingga keadaan benar-benar tenang,” katanya yang tinggal di bawah khemah sementara di kawasan kuil Buddha di wilayah Banteay Meanchey.

Sehingga kini, belum ada notis penjelasan tentang perkembangan konflik tersebut yang telah meragut sekurang-kurangnya 47 nyawa dan menyebabkan pemindahan lebih sejuta penduduk.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan penduduk menanti pengumuman rasmi mengesahkan situasi sudah benar-benar selamat sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing. - Foto AFP
Kebanyakan penduduk menanti pengumuman rasmi mengesahkan situasi sudah benar-benar selamat sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing. - Foto AFP

Petani, Saichon Wongpitak pula berkata, dia tidak lagi sanggup untuk menunggu dan nekad kembali ke kampung halamannya di wilayah Sisaket.

“Jiran saya beri jaminan insiden berbalas tembakan sudah reda sejak Sabtu. Kami terpaksa pulang kerana perlu menguruskan ladang pertanian dan haiwan ternakan. Tetapi, saya percaya tempoh bertenang ini hanyalah sementara.

“Usah letak kepercayaan terlalu tinggi kepada Kemboja,” katanya.

Di bawah kesepakatan terbaharu itu, Bangkok dan Phnom Penh bersetuju untuk menghentikan aktiviti ketenteraan dan membenarkan orang awam pulang ke rumah serta Thailand menyerahkan 18 askar Kemboja yang ditahan pada Julai lalu dalam tempoh 72 jam.

Kot Ngik, 43, di kem sementara Banteay Meanchey menarik nafas lega kerana anak-anaknya dapat kembali bersekolah.

Komuniti di kawasan perbatasan mendakwa tiada lagi kedengaran bunyi tembakan sejak tengah hari Sabtu. - Foto AFP
Komuniti di kawasan perbatasan mendakwa tiada lagi kedengaran bunyi tembakan sejak tengah hari Sabtu. - Foto AFP

Tetapi, dia juga skeptikal dengan kepatuhan tentera Thailand terhadap perjanjian gencatan senjata tersebut.

“Situasi masih tidak menentu kerana mereka boleh bertempur semula pada bila-bila masa,” katanya.

Bagi So Choeun pula, tempoh bertenang itu memberi harapan baharu kepadanya.

“Tiada lagi kedengaran bunyi tembakan. Ia jelas petanda baik,” ujarnya. - AFP

Ringkasan AI

  • Kanlaya Somjettana di bandar Surin enggan pulang walaupun gencatan senjata dicapai antara Thailand dan Kemboja
  • Penduduk di sempadan Kemboja masih ketakutan dan menunggu pengumuman rasmi sebelum pulang
  • Konflik tersebut telah meragut sekurang-kurangnya 47 nyawa dan memaksa pemindahan lebih sejuta penduduk
  • Persetujuan terbaharu membolehkan orang awam pulang ke rumah serta pengembalian 18 askar Kemboja yang ditahan
  • Ketidakpastian masih ada kerana situasi boleh berubah dan konflik boleh berulang bila-bila masa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!