Chegubard gesa SPRM beku akaun pegawai kanan tentera disiasat

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa membekukan akaun milik pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya terhadap siasatan ke atas dakwaan rasuah.
Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, pemilik akaun juga perlu disoal mengenai sumber jutaan ringgit dalam akaun peribadi masing-masing.
Beliau berkata, pemilik akaun juga perlu disoal mengenai sumber jutaan ringgit dalam akaun peribadi masing-masing.
"Jika tiada tindakan ke atas akaun-akaun tersebut, saya tidak menolak (akan) menyiarkan butiran akaun terlibat meskipun melanggar Bafia (Akta Perbankan dan Institusi Kewangan) atau seumpamanya.
"PETA sudah bantu menyiapkan laporan siasatan perisikan lengkap yang memudahkan tindakan penguatkuasa," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Dalam pada itu Chegubard memaklumkan akan tampil membuat pendedahan lanjut berkaitan projek dan tender melibatkan ATM susulan Kementerian Pertahanan (Mindef) mengarahkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.
Sebelum ini, media melaporkan Chegubard membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan berkaitan isu pengubahan wang haram.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 22 Disember lalu dengan Chegubard turut mendakwa memiliki laporan forensik kewangan membabitkan akaun peribadi individu itu.
Beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.
Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pada Selasa, pegawai SPRM telah hadir ke Mindef dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Siasatan SPRM mendapati dari 2023 hingga 2025, perolehan Tentera Darat yang melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek manakala bagi perolehan di bawah RM500,000 pula membabitkan 4,521 projek.
Semakan awal mendapati ada beberapa syarikat yang kerap memperoleh projek dengan nilai tinggi dan perkara itu agak meragukan.
Setakat 24 Disember, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat.
Ringkasan AI
- Chegubard menggesa SPRM membekukan akaun pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya atas dakwaan rasuah
- Pemilik akaun perlu disoal sumber jutaan ringgit dalam akaun mereka
- Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti untuk siasatan lancar tanpa konflik kepentingan
- Chegubard akan buat pendedahan lanjut mengenai projek dan tender ATM susulan penggantungan tugas Hafizuddeain
- Chegubard juga akan dedahkan isu bakal Panglima Tentera Laut bertujuan melawan korupsi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

