'Saya mohon ampun dan maaf, saya sudah tak larat' - Chegubard

MUAR - Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard terpaksa menghentikan perjalanan hari ketiga dalam misi protes berjalan kaki menuju Mahkamah Johor Bahru kerana kaki melepuh teruk.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
"Bangun pagi tadi di rumah inap di Muar, bukan sahaja kaki malah badan sangat sakit, perjalanan sepatutnya mula 7 pagi tapi saya cuba kumpul kekuatan namun sehingga 11 pagi saya masih tak mampu.
"Saya cuba meneruskan tapi memang tak berdaya. Kaki melepuh makin parah dan otot makin keras," katanya.
Beliau berkata, rakan-rakan yang mengiringi perjalanan menasihatkan supaya terus ke Johor Bahru memandangkan kes mahkamah yang perlu dihadiri pada Khamis lebih penting
"Saya mohon ampun dan maaf. Saya sudah tak larat. Sampai Johor Bahru rasanya mungkin perlu ke klinik," ujarnya lagi.
Chegubard kini sedang melaksanakan misi ‘Protes Jalan Kaki – Demi Maruah Diri dan Kembalikan Perjuangan ke Tangan Rakyat’ iaitu perjalanan solo menuju Mahkamah Johor Bahru bagi menghadiri sambung bicara kes pendakwaan mengikut Akta Hasutan pada Khamis dan Jumaat ini.
Beliau memulakan perjalanan dari Port Dickson pada Isnin sebelum melalui Melaka dan Batu Pahat.
Perjalanan hari ketiga dijadualkan berakhir di Surau Parit Andin, Parit Yaani, Johor sekitar jam 10.30 malam Rabu.
Ringkasan AI
- Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, terpaksa menghentikan misi protes berjalan kaki kerana kaki melepuh teruk
- Perkembangan tersebut dikongsi di Facebook Rabu lalu
- Perjalanan yang sepatutnya bermula jam 7 pagi dihentikan kerana Chegubard mengalami kesakitan badan dan kaki yang semakin parah
- Chegubard mendapat nasihat daripada rakan-rakan untuk terus ke Johor Bahru untuk menghadiri kes mahkamah yang lebih penting
- Misi 'Protes Jalan Kaki' dilakukan untuk menghadiri sambung bicara kes pendakwaan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Johor Bahru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

