Tiga individu ditahan gagal beri alasan munasabah

Aidi Sham
Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Tiga individu ditahan di dua lokasi berasingan kerana gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di tempat awam semalam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan pertama ialah seorang lelaki berusia 56 tahun dan rakan wanitanya berusia 24 tahun yang berada berhampiran Kolam Takungan Air Taman Intan Perdana, Teluk Kemang kira-kira 7 malam.

"Masing-masing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan penyambut tetamu itu gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di lokasi tersebut dalam tempoh PKP.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai empat rekod kesalahan lampau dan masih dikehendaki bersabit satu kes kesalahan jenayah narkotik di bawah seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala wanita berkenaan mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memberitahu pada jam 12.45 malam polis telah menahan seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Satria Neo di tepi jalan Lukut, Taman Sri Lukut di sini.

"Suspek yang berusia 22 itu juga gagal memberi alasan munasabah ketika disoal oleh anggota polis yang bertugas," katanya.

Aidi Sham berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Artikel Berkaitan: