Jemaah solat Zuhur ganti Jumaat di Masjid Kuala Klawang tidak sah - Mufti

JELEBU - Jemaah yang menggantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur di Masjid Kuala Klawang di sini pada 30 Oktober lalu diwajibkan mengqada solat Zuhur itu kerana ia adalah tidak sah.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bermuzakarah 3 November lalu membuat keputusan itu selepas meneliti isu kegagalan mendirikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Menurutnya, solat Jumaat merupakan kewajipan fardu ain ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi syarat, termasuk mukallaf, merdeka dan bermastautin.
"Apabila sesebuah masjid atau surau yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat wajib untuk melaksanakan solat Jumaat di tempat berkenaan apabila segala syaratnya dipenuhi.
"Setiap individu tersebut tidak dibenarkan menunaikan solat Zuhur sebagai ganti kepada solat Jumaat, selagi mana solat Jumaat masih boleh didirikan dalam tempoh waktu Zuhur di tempat berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular dakwaan kira-kira 250 jemaah di masjid berkenaan tidak dapat menunaikan solat Jumaat dan jemaah yang hadir hanya menunaikan solat Zuhur sebagai ganti.
Ia susulan peletakan jawatan imam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bantahan terhadap arahan supaya nama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Azrin Khairi yang dikaitkan dengan kedudukan Undang Luak dibacakan dalam khutbah Jumaat.
Faudzinaim berkata, solat Zuhur yang ditunaikan pada hari Jumaat tanpa keuzuran dibenarkan syarak sedangkan kewajipan solat Jumaat masih tertanggung ke atas individu berkenaan adalah tidak sah.
Sehubungan itu, individu yang telah menunaikan solat Zuhur dalam keadaan tersebut diwajibkan mengqada semula solat berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak mengambil mudah kewajipan solat Jumaat, selain mengutamakan pelaksanaan ibadat dan mengelakkan perselisihan ketika berada di masjid atau surau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

