PRN Melaka: 80 peratus isu banjir Ayer Limau sudah diselesaikan

MASJID TANAH - Sepanjang sepenggal menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berjaya menyelesaikan 80 peratus masalah banjir di kawasan berkenaan menerusi pelbagai projek dan kerja baik pulih yang menelan kos dianggarkan antara RM6 juta hingga RM7 juta.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Ayer Limau itu berkata, banjir merupakan isu utama yang diberi perhatian sejak beliau mula menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 2021.
Ia susulan sebulan selepas beliau diberikan mandat, satu kejadian banjir besar berlaku sehingga menyebabkan lebih 600 rumah di kawasan Ayer Limau terjejas.

Menurutnya, pelbagai pendekatan dan projek menaik taraf sistem perparitan serta saliran dilaksanakan secara berperingkat bagi menangani masalah yang sekian lama membelenggu penduduk.
“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk menaik taraf pembetung di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi punca aliran air tersekat sehingga menyebabkan kawasan perkampungan dinaiki air.
“Daripada kira-kira 14 pembetung yang dikenal pasti sebanyak 11 telah dinaik taraf kepada saiz lebih besar, manakala beberapa lagi masih dalam proses pembinaan,” katanya ketika ditemui semasa berkempen pada PRN Melaka di Kampung Ayer Limau di sini.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri itu berkata, formula untuk membesarkan laluan air tersebut dilakukan bagi melancarkan air dan menampung kapasiti air tinggi ketika hujan lebat atau luar jangka.
Beliau berkata, jika langkah itu tidak dapat menyelesaikan keseluruhan masalah banjir, pengambilan tanah perlu dilakukan bagi membolehkan kerja pelebaran sistem saliran dilaksanakan.
“Kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan membina kolam takungan bagi menampung jumlah air yang semakin meningkat ketika hujan lebat.
“Sementara itu, bagi isu banjir di jalan raya melibatkan bulatan Lubok China, kita sudah membuat tender dan insya-ALLAH, surat tawaran projek itu akan dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya pada hujung tahun ini.
“Projek berkenaan dijangka bermula hujung tahun ini dan siap sepenuhnya pada penghujung 2027,” katanya.
Justeru, beliau memberi jaminan akan menjadikan penyelesaian baki 20 peratus masalah banjir kilat sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada PRN Melaka, 14 November ini.
Selain itu, katanya, beliau turut akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur riadah untuk golongan muda, selain mempergiat program pendidikan dan kerohanian bagi melahirkan generasi masa depan yang lebih baik.
Pada PRN Melaka kali ini, Hameed berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH)-PKR, Mejar (B) Jaini Dimon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

