1MDB: Najib dihukum penjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion

Najib dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, atas 4 kes rasuah dan 21 pertuduhan AMLA dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion antara 2011 dan 2014 lalu. - Gambar fail
Najib dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, atas 4 kes rasuah dan 21 pertuduhan AMLA dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion antara 2011 dan 2014 lalu. - Gambar fail
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, atas empat kes rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion, antara 2011 dan 2014 lalu.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini juga memerintahkan Najib, 72, membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.

Sekiranya bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal membayar jumlah denda berkenaan, dia boleh dipenjara selama 10 tahun bagi setiap kes rasuah terbabit.

Semasa prosiding bersambung jam 9 malam, hakim berkata, setiap kes mengunakan kedudukan untuk rasuah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun sementara lima tahun bagi setiap kes AMLA.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan kedua-dua hukuman pemenjaraan berjalan serentak, selepas Najib selesai menjalani hukuman di Penjara Kajang, bagi kes SRC International Sdn Bhd, 22 Ogos 2028 depan.

“Ini kerana pertuduhan kes 1MDB dan kes SRC bukan melibatkan transaksi yang sama dan merupakan kes berasingan.

“Secara pecahan kes rasuah membabitkan pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dengan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

“Jumlah berkenaan ialah RM303,149,197.15; RM454,499,636.40; RM10,407,384,630 dan RM222,854,603.50 atau jumlah keseluruhan mencecah RM11,387,888,067.05,” katanya.

Beliau berkata, bagi setiap kes AMLA pula, tertuduh dihukum penjara maksimum lima tahun tanpa dikenakan sebarang denda.

Artikel Berkaitan:

Selain hukuman pemenjaraan dan denda, mahkamah turut memerintahkan Najib memulangkan ‘sum recoverable’ berjumlah RM2,081,476,926.

Katanya, ia sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 55(2) Akta Pencegahan. Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sekiranya anak jati Pahang terbabit gagal memulangkan jumlah tersebut, beliau berkata, Najib berdepan hukuman tambahan selama dua tahun enam bulan bagi setiap sembilan tuduhan AMLA.

Collin berkata, keputusan dibuat selepas meneliti semua faktor mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan termasuk faktor pemberat yang dibangkitkan oleh pendakwaan.

Katanya, mahkamah telah mengambil kira kes yang dirujuk oleh kedua-dua pihak termasuk prinsip undang-undang yang terpakai.

“Saya telah membuat pertimbangan utama dalam penjatuhan hukuman, iaitu kepentingan awam serta prinsip hukuman berbentuk pencegahan.

“Saya juga meneliti latar belakang tertuduh, termasuk fakta dan tempoh perkhidmatannya dalam kerajaan serta faktor mitigasi lain secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, hakim turut merekodkan bahawa Najib tidak memohon penangguhan hukuman berkenaan penjara.

Bagaimanapun beliau berkata, bekas Presiden UMNO itu bebas untuk membuat permohonan berkenaan pada bila-bila masa.

Terdahulu, Collin memutuskan Najib bersalah atas 25 pertuduhan kes rasuah dan AMLA dana 1MDB.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan jumlah wang yang sama antara 2011 hingga 2014 lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon Kuala Lumpur, di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Ringkasan AI

  • Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum penjara selama 15 tahun atas empat kes rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB
  • Najib perlu membayar denda sebanyak RM11.4 bilion
  • Hukuman penjara 15 tahun untuk kes rasuah dan lima tahun untuk setiap pertuduhan pengubahan wang haram akan berjalan serentak selepas 22 Ogos 2028
  • Pertuduhan terhadap Najib melibatkan penggunaan kedudukan untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara tahun 2011 hingga 2014
  • Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!