Pendakwaan cadang Najib dihukum penjara 80 tahun, denda RM11.4 bilion

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan mencadangkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara maksimum 80 tahun dan denda RM11.4 bilion, terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berhujah demikian ketika sesi pemberatan, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman atas empat kes mengunakan kedudukan untuk rasuah dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke atas Najib, 72.

“Saya mohon mahkamah mengenakan hukuman penjara selama 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan tempoh pemenjaraan itu perlu berjalan secara berasingan, bukannya serentak.

“Hukuman itu perlu bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara bagi kes menyalahgunakan RM42 juta bagi kes SRC International Sdn Bhd di Penjara Kajang,” katanya.

Beliau berkata, denda itu dikira berdasarkan peruntukan yang menetapkan kadar dibuat lima kali ganda suapan yang terlibat dalam pertuduhan penyalahgunaan kuasa, berserta penalti di bawah peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu, pendakwaan menyifatkan kesalahan yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebagai antara kes terburuk yang boleh dibayangkan membabitkan isu jenayah kewangan di Malaysia.

“Ini merupakan kes kleptokrasi paling teruk dan pengkhianatan terhadap amanah secara mutlak.

“Ini kerana tertuduh ketika melakukan kesalahan itu semasa menjawat peranan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Perbuatan itu memberi kesan buruk terhadap kewangan negara, selain jumlah liabiliti 1MDB mencecah hampir RM50 bilion, dengan kerajaan terpaksa membayar RM42 bilion dan hutang tertunggak kira-kira RM13 bilion,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain Ahmad Akram, pendakwaan turut dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Prosiding ini masih diteruskan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membalas hujahan berkenaan.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini, memutuskan Najib bersalah atas empat kes mengunakan kedudukan untuk rasuah dan 21 kes pengubahan wang haram (AMLA) dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion, antara 2011 dan 2014 lalu.

Ringkasan AI

  • Pihak pendakwaan mencadangkan hukuman penjara maksimum 80 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib Razak atas kes rasuah 1MDB
  • Hukuman dicadangkan 20 tahun penjara bagi setiap pertuduhan yang perlu berjalan secara berasingan
  • Kesalahan Najib dianggap sebagai antara kes kleptokrasi paling teruk dan pengkhianatan terhadap amanah di Malaysia
  • Jumlah liabiliti 1MDB hampir RM50 bilion, kerajaan terpaksa membayar RM42 bilion dan membawa hutang tertunggak kira-kira RM13 bilion
  • Najib didapati bersalah atas empat kes rasuah dan 21 kes pengubahan wang haram berkaitan 1MDB sebanyak RM2.3 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!