Rekod 1.6 juta pengguna, eCOSS terus diguna hingga ada sistem lebih mudah - Fuziah

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mengguna pakai aplikasi Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) dalam jual beli minyak masak peket bersubsidi di pasaran sehingga pihaknya berjaya mengenal pasti sistem baharu yang lebih memudahkan pengguna.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sejumlah 1,658,480 pengguna telah mendaftar di aplikasi Ecoss sehingga jam 2.04 petang pada Khamis sejak sistem itu diperkenalkan pada 1 April lalu.
“Oleh kerana eCOSS berfungsi untuk mengekang warga asing daripada memperoleh akses atau membeli minyak masak peket, maka sistem ini akan diteruskan setakat ini.
“Namun KPDN sedang mencari alternatif yang lebih mudah buat pengguna di masa hadapan, tetapi cara yang lain itu mungkin ada cabaran yang lain pula. Contoh sekiranya kita guna kad pengenalan (MyKad) seperti yang digunakan dalam sistem MyKasih cabarannya ialah tidak semua kedai runcit ada terminal tersebut. Ini semua perlu diteliti,” katanya kepada Sinar Harian.
Muka depan akhbar Sinar Harian pada Khamis melaporkan pelaksanaan aplikasi eCOSS dilihat berjaya menangani isu ketirisan bekalan minyak masak peket bersubsidi yang sekian lama membelenggu rakyat Malaysia, khususnya golongan B40.
Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai pengguna mengakui keberkesanan sistem tersebut apabila mereka tidak lagi perlu berebut mendapatkan bekalan malahan, masalah kehabisan stok juga dapat diatasi susulan larangan pembelian oleh warga asing.
Bagaimanapun, masih ramai belum mengetahui tentang aplikasi berkenaan, selain segelintir peniaga mendakwa eCOSS menyukarkan pengguna di kawasan pendalaman.
Mengulas lanjut, Fuziah menegaskan, penggunaan sistem itu juga sebenarnya agak fleksibel kerana pengguna yang tidak memiliki telefon pintar turut dibantu oleh kedai atau peniaga.
“Sekiranya ada warga emas yang tiada telefon pintar, kedai akan buat secara manual iaitu ambil maklumat pembeli itu secara manual.
“Pihak pasar raya dan kedai runcit turut membantu pembeli untuk memasang aplikasi eCOSS ini di telefon pintar pembeli. Bila dah muat naik aplikasi dan buat pengesahan identiti pengguna (eKYC), sudah tak susah lagi untuk buat pembelian minyak peket ini,” ujar beliau.
Katanya, pegawai KPDN turut membantu pengguna memuat turun aplikasi eCOSS pada Program Jualan Rahmah Madani yang diadakan di seluruh negara.
Ringkasan AI
- KPDN akan terus menggunakan aplikasi eCOSS untuk jual beli minyak masak peket bersubsidi sehingga sistem baharu ditemui
- Sejumlah 1,658,480 pengguna telah mendaftar dalam sistem eCOSS
- Sistem eCOSS berfungsi mengekang warga asing daripada membeli minyak masak peket bersubsidi
- Masalah ketirisan bekalan minyak masak peket bersubsidi dapat ditangani melalui aplikasi eCOSS
- Pengguna yang tidak memiliki telefon pintar dibantu oleh kedai atau peniaga untuk menggunakan sistem eCOSS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

