Tiada eCOSS, masih boleh beli minyak masak peket subsidi - Exco Melaka

MELAKA - Pengguna masih boleh membeli minyak masak peket walaupun tidak mendaftar atau menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka, Allex Seah berkata, sehingga kini tiada aduan diterima berhubung peniaga enggan menjual minyak masak bersubsidi kepada pengguna yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan aplikasi eCOSS hanyalah langkah galakan bagi memastikan pembelian dapat direkodkan dengan lebih sistematik.
“Kita tidak memaksa pengguna untuk memiliki aplikasi ini. Jika pembeli tidak mempunyai aplikasi, mereka masih boleh membeli. Mereka boleh menulis maklumat yang diperlukan pada borang disediakan.
“Kita menggalakkan penggunaan aplikasi ini supaya kita dapat melihat semula berapa banyak minyak telah dibeli dan bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Ekspedisi 2 Roda Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Pelaksanaan Aplikasi eCOSS Melaka di sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap mana-mana pembeli yang tidak menggunakan aplikasi tersebut.
“Pada peringkat awal pelaksanaan, ada pengguna yang bertanya kenapa perlu imbas eCOSS, tetapi apabila sudah biasa, mereka datang dan secara automatik akan mengimbas sebelum membeli.
“Aplikasi Mobile eCOSS telah dilaksanakan secara rintis di PJRM bergerak sejak Ogos 2025 dan merekodkan 1,608 pengguna memuat turun aplikasi ini, diikuti September dan Oktober sebanyak 5,200 dan 5,914 pengguna,” katanya.
Ujarnya, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 12,722 pengguna telah menggunakan aplikasi itu, membuktikan bahawa Mobile eCOSS diterima baik oleh pengguna di Melaka.
Sementara itu, Mohd Hazimin berkata, tiada penjualan minyak masak peket kepada warga asing susulan kaedah eCOSS yang mengawal pembelian melalui penggunaan MyKad.
“Sebab itu kita membuat kawalan menggunakan MyKad. Kita mahu menjaga barang kawalan daripada diseleweng atau dijual ke luar negara.
“Sekarang ini kita memang mengawal sehabisnya dengan menggunakan MyKad. Tidak ada pembelian yang dibuat oleh warga asing. Ini adalah usaha tepat kerajaan mengekang ketirisan barangan bersubsidi,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengguna masih boleh membeli minyak masak peket tanpa mendaftar atau menggunakan eCOSS
- Penggunaan aplikasi eCOSS hanyalah sebagai langkah galakan untuk rekod pembelian lebih sistematik
- Kerajaan negeri tidak mengenakan tindakan terhadap pembeli yang tidak menggunakan aplikasi
- Sebanyak 12,722 pengguna telah menggunakan aplikasi eCOSS, menunjukkan penerimaan baik di Melaka
- Pengawalan pembelian minyak masak peket dengan MyKad menghalang penjualan kepada warga asing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

